Ahmad Zahid akui terkesan Kelantan juarai dadah

Iklan
Ahmad Zahid semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah pada Jumaat.

TANAH MERAH – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui terkesan dengan kadar penyalahgunaan dadah di negeri Kelantan yang masih mencatatkan jumlah tertinggi di Malaysia.

Menurut beliau, statistik tersebut dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), dan disahkan oleh Bahagian Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Iklan
Iklan

"Semua statistik ini memperlihatkan bahawa tanggungjawab bersama antara kerajaan pusat dan negeri mesti digalas dengan serius.

"Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Antidadah Kebangsaan merasakan bahawa tidak seharusnya ada mana-mana pihak melepaskan tanggungjawab dan menganggap ia adalah urusan pihak lain. Marilah kita sama-sama menangani masalah ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah di sini pada Jumaat.

Iklan

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut memaklumkan bahawa selain Kelantan, negeri-negeri seperti Terengganu, Kedah dan Perlis juga mencatatkan kadar penyalahgunaan dadah yang membimbangkan.

Ujarnya, walaupun negeri-negeri tersebut berbeza dari segi warna pentadbiran politik, perkara itu perlu diketepikan demi kepentingan rakyat dan keselamatan negara.

Iklan

"Semua pihak perlu memainkan peranan termasuk kerajaan pusat, kerajaan negeri dan semua agensi berkaitan dalam membendung isu ini.

"Dulu slogan ‘Dadah Musuh Nombor Satu Negara’ sering disebut-sebut, tetapi kini seolah-olah tidak lagi kedengaran. Jadi, kita mesti kembalikan semangat itu," katanya.

Menurut Ahmad Zahid, kebanyakan dadah jenis sintetik yang diseludup masuk ke negara ini dikesan melalui jalan air.

Beliau berkata, Malaysia turut disahkan sebagai negara transit bagi aktiviti pengedaran dadah dan kerajaan bertekad untuk membendung situasi tersebut sebaik mungkin.

"Kita tidak mahu terus dikenali dengan imej buruk ini. Kita tidak mahu menjadi juara dalam hal yang memalukan," tegasnya.