[VIDEO] Lelaki Korea dipenjara tiga bulan tinggal lebih masa

Iklan

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga Korea Selatan dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas dia mengaku bersalah tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini.

Tertuduh, Jeon Eunjin, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berusia 55 tahun didakwa melakukan kesalahan itu pada 30 Jun 2025, kira-kira jam 12.30 tengah hari di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pekerja pembinaan di Korea Selatan didapati masih berada di Malaysia walaupun pas lawatan sosialnya telah tamat pada 10 Februari 2025.

Iklan

Ini bermakna tertuduh tinggal melebihi tempoh selama 90 hari tanpa sebarang alasan munasabah.

Jeon Eunjin dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM2,000 selepas mengaku bersalah tinggal lebih masa di Malaysia serta membuat laporan polis palsu.

Iklan

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

“Selepas pengakuan bersalah tertuduh, mahkamah menetapkan hukuman penjara tiga bulan bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 30 Jun,” kata Majistret Nadratun.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Adilla Zaharuddin.

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret untuk menghadapi dua pertuduhan pada Jumaat.

Ahmad Danial memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Sementara itu, Nur Adilla dalam rayuannya memohon hukuman minimum dengan mengambil kira bahawa tertuduh berusia 55 tahun, telah berkahwin dan mempunyai dua anak.

“Tertuduh merupakan pekerja pembinaan di negaranya dengan pendapatan kira-kira RM15,000 sebulan. Ini adalah kesalahan pertamanya dan pengakuan bersalah beliau telah menjimatkan masa mahkamah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jeon turut mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan iaitu membuat laporan polis palsu pada Jun lalu.

Selepas pengakuan tersebut, Majistret Nadratun menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 terhadapnya dan sekiranya gagal membayar, boleh dipenjara selama enam bulan.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh dengan sengaja membuat satu laporan polis palsu dengan niat supaya pihak polis menggunakan kuasa sah di sisi undang-undang untuk membuka kertas siasatan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.45 tengah hari, 28 Jun lalu di tempat yang sama.

Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.