TEHERAN – Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Ghalibaf mendakwa lebih 500 tentera Israel terbunuh dalam konflik bersenjata selama 12 hari antara rejim Zionis dan Republik Islam itu, satu angka yang jauh lebih tinggi berbanding laporan rasmi.
Dalam wawancara siaran langsung pada Khamis, beliau merujuk model saintifik yang menunjukkan jika 3,500 askar cedera, maka sekurang-kurangnya 500 maut, sekali gus menyangkal angka rasmi dikeluarkan oleh Israel.
“Berdasarkan data perubatan dan corak kecederaan, statistik menunjukkan bahawa bagi setiap 3,500 kecederaan serius, sekurang-kurangnya 500 adalah korban jiwa,” katanya.
Ghalibaf juga mendakwa Iran bukan sahaja berhadapan dengan Israel, sebaliknya berperang melawan kuasa besar seperti Barat di bawah arahan Amerika Syarikat (AS).
Beliau turut menegaskan bahawa keupayaan ketenteraan Iran di darat dan udara berjaya melumpuhkan pusat pertahanan utama Israel.
“Kami telah menumpaskan sistem ketenteraan dan pusat pertahanan udara mereka melalui serangan peluru berpandu dengan ketepatan lebih 90 peratus,” ujarnya.
Ghalibaf mendakwa Iran memiliki akses penuh ke seluruh wilayah diduduki Israel dan keadaan itu memaksa rejim Zionis akur kepada gencatan senjata.
Beliau menyifatkan lagu ‘Boom Boom Tel Aviv’ yang tular dengan lebih satu bilion tontonan sebagai simbol kemenangan moral rakyat Iran dalam naratif diplomasi awam.
Dalam pada itu, beliau mengecam tindakan AS melancarkan serangan ke atas Iran ketika rundingan diplomatik sedang berjalan.
“Jika AS benar-benar ikhlas, mereka mesti memberi penjelasan kenapa menyerang kami sewaktu rundingan damai sedang berlangsung,” tegasnya.
Tambah beliau, rundingan akan hanya bermakna sekiranya dua perkara utama dipenuhi iaitu jaminan keselamatan serantau dan perlindungan terhadap kepentingan ekonomi Iran. -Agensi