Kosmetik halal lambang ibadah, bukan sahaja penampilan

Iklan
MEMILIH suatu perkara yang halal khususnya dalam kosmetik mempunyai kaitan dari sudut akhlak ataupun etika kita dalam soal mengurus kecantikan atau personaliti diri. -Foto: CANVA

RAMAI masyarakat hanya memandang konsep halal berkait dengan makanan dan minuman semata-mata, sedangkan konsepnya jauh lebih luas.

Memperbetulkan salah anggapan itu, Pensyarah Pengajian Islam merangkap Jurulatih Halal, Management and Science University (MSU), Ustaz Mohd Herzali Muhammad Haled menjelaskan, skop halal dalam Islam merangkumi aspek kehidupan secara menyeluruh termasuk kosmetik yang digunakan saban hari.

Iklan
Iklan

USTAZ MOHD HERZALI

“Selain itu, ia turut mencakupi pelbagai sektor indusrti seperti perubatan, kewangan, logistik dan pelancongan.

Iklan

“Tidak logik dan tidak wajar sekiranya kita hanya mengaitkan halal dengan makanan atau minuman sahaja,” katanya ketika ditemui di MSU Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Mengapa penting memastikan kosmetik yang digunakan halal?

Iklan

“Jika produk kecantikan itu mengandungi unsur-unsur najis atau haram, sudah pasti ia akan menghalang kesahan wuduk dan solat kita,” ujarnya.

Beliau turut merujuk kepada hadis Rasulullah SAW: “ALLAH SWT tidak menerima solat seseorang daripada kamu yang berhadas sehingga dia berwuduk.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

PENTING untuk kita mencari kosmetik halal kerana ia berkait rapat dengan syarat sah ibadah memandangkan penggunaan bahan itu boleh memberi kesan terhadap kesahan wuduk dan solat seseorang. -Foto: CANVA

Di samping itu, jelas beliau, memilih produk halal juga mencerminkan ketaatan seseorang hamba kepada perintah ALLAH SWT.

“Ia selari dengan firman ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke-168,” jelasnya.

Pensyarah itu kemudian menekankan aspek kesihatan yang seiring dengan Maqasid Syariah iaitu kewajipan memelihara nyawa.

“Kosmetik tidak halal atau berbahaya boleh membawa kemudaratan kepada nyawa atau diri pengguna.

“Sebagai contoh, kulitnya mungkin akan rosak, selain berpotensi mengakibatkan penyakit lain atau berlakunya gangguan hormon,” terangnya.

PILIHLAH produk kosmetik yang mempunyai logo halal dan berhati-hati dengan produk yang menggunakan istilah 'mesra wuduk', 'mesra Muslim' atau seumpamanya tanpa pengesahan halal. -Foto: CANVA

Ikut batas syariat

Dalam pada itu, Ustaz Mohd Herzali mengingatkan, penggunaan kosmetik perlulah mengikut batas syariat yang ditetapkan.

“Bila kita memilih suatu perkara yang halal khususnya dalam kosmetik, ia juga mempunyai kaitan dari sudut akhlak ataupun etika kita dalam soal mengurus kecantikan atau personaliti diri,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pengguna agar berhati-hati dengan produk yang menggunakan istilah ‘mesra wuduk’, ‘mesra Muslim’ dan seumpamanya tanpa pengesahan halal.

“Istilah seperti mesra wuduk ini bukanlah satu jaminan bahawa barang tersebut halal dari segi sumber bahan dan pemprosesannya.

“Kadang-kadang tetap mengandungi bahan najis atau belum disahkan halal,” ungkapnya.

SKOP halal dalam Islam merangkumi aspek kehidupan secara menyeluruh termasuk kosmetik yang digunakan saban hari. -Foto: CANVA

Justeru, Ustaz Mohd Herzali mengingatkan umat Islam agar menyemak label halal, meneliti kandungan produk dan merujuk kepada badan berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengelak keraguan atau syubhah.

“Prinsip meninggalkan perkara syubhah adalah penting dalam Islam. Jika kita waswas, lebih baik tinggalkan produk tersebut,” titipnya.

Kepada kaum hawa yang mahu berhias, beliau menjelaskan, perkara itu sememangnya menjadi fitrah terutamanya bagi golongan tersebut dan ia tidak dilarang dalam Islam.

Bagaimanapun katanya, agama suci itu meletakkan had dan adab tertentu agar ia tidak menimbulkan sebarang fitnah.

“Pepatah Arab ada menyebut bahawa ‘Orang perempuan seumpama cermin’. Sukar dipisahkan antara keduanya, miliki sifat sensitif dan selalu ingin berpenampilan cantik. Walaupun begitu, golongan wanita perlulah menjaga batasan agar tidak melanggar syariat.

“Elakkan tabarruj atau berhias secara berlebihan di hadapan lelaki ajnabi seperti yang disebutkan dalam ayat ke-33 surah al-Ahzab dan jangan pula sampai mengubah ciptaan ALLAH SWT tanpa sebab syarie,” katanya.

Sebelum mengakhiri kalamnya, beliau mengingatkan bahawa pemilihan produk halal bukan hanya menambah keyakinan, malah memelihara ibadah, akhlak dan kesihatan seseorang Muslim.

“Halal dan toyyib itu bukan sekadar slogan, sebaliknya ia berkait rapat dengan integriti seorang hamba ALLAH,” ungkapnya.

ANEKDOT

Panduan berhias menurut Islam

ISLAM tidak melarang umatnya berhias, tetapi meletakkan had dan adab tertentu supaya tidak menimbulkan fitnah atau menarik perhatian lelaki ajnabi. -Foto: CANVA

- Berhias adalah fitrah semula jadi manusia khususnya wanita yang suka berpenampilan menarik dan menjaga diri.

- Islam tidak melarang umatnya berhias, tetapi meletakkan had dan adab tertentu supaya tidak menimbulkan fitnah atau menarik perhatian lelaki ajnabi.

- Elakkan berhias secara berlebihan (tabarruj) di hadapan lelaki ajnabi sehingga menonjolkan kecantikan diri tanpa batas.

- Menerusi ayat ke-33 surah al-Ahzab, wanita dilarang berhias seperti wanita jahiliah terdahulu yang suka menarik perhatian golongan lelaki dengan penampilan berlebihan.

- Dalam budaya jahiliah, wanita memakai gelang kaki berloceng di kaki dan menghentakkan langkah untuk memancing perhatian golongan lelaki.

- Islam juga menegaskan agar umatnya tidak mengubah ciptaan ALLAH tanpa sebab syarie contohnya, mencukur kening atau melakukan pembedahan kosmetik berlebihan semata-mata untuk kecantikan.

- Berhias dibolehkan, tetapi hendaklah berpada-pada dan tidak melampaui syariat demi memelihara akhlak, kehormatan dan maruah diri.