Kosmetik halal, cantik ikut syarak

Iklan
RAMAI hanya mementingkan harga murah tanpa menyedari risiko bahan tidak halal dalam kosmetik import. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Nurraysa bukan sekadar jual produk mesra wuduk, tetapi turut jadikan kecantikan sebagai medan dakwah

KETIKA ramai pengguna sibuk mencari produk kecantikan yang mampu menjadikan wajah tampak sempurna, ada kelompok Muslimah kini semakin peka terhadap status halalnya.

Dalam dunia kosmetik moden yang penuh warna dan glamor, persoalan halal, patuh syariah serta mesra wuduk bukan lagi perkara sampingan, sebaliknya menjadi garis panduan utama bagi mereka yang mahu tampil menawan tanpa menggadaikan prinsip agama.

Iklan
Iklan

Salah satu nama yang menonjol dalam arus itu ialah Nurraysa, jenama kosmetik halal dan mesra wuduk.

Di sebalik jenama itu, berdiri seorang wanita muda berjiwa besar, Nur Aini Zolkepeli yang memulakan segalanya dari rumah dengan menjual rumpai laut secara dalam talian ketika usianya baru mencecah 19 tahun.

Iklan

NUR AINI

Menurut Nur Aini yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Nurraysa Global Sdn Bhd (Nurraysa), perjalanan bisnesnya bermula sewaktu beliau masih menuntut dalam bidang diploma kejururawatan sekitar tahun 2012 demi mencari pendapatan sampingan.

Iklan

Bermodalkan semangat dan keberanian, beliau cuba menjual rumpai laut yang ketika itu begitu popular. Namun, persaingan sengit memaksa wanita itu beralih arah.

“Saya pun mencari alternatif lain dengan menghasilkan sabun muka dan badan menggunakan rumpai laut itu sendiri.

“Selepas itu, ramai yang minta satu set lengkap, jadi kami pun mulakan penghasilan set penjagaan kulit dan mendapat pensijilan halal pada 2013,” katanya ketika ditemui Sinar Islam Plus di Subang Bestari, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Melihat kekurangan produk kosmetik halal dan mesra wuduk di pasaran, beliau memperluaskan perniagaan kepada kosmetik pada 2015.

“Pada masa itu, tidak banyak produk kosmetik (halal) dan saya sememangnya suka mekap.

“Bermulalah perjalanan kami untuk mendapatkan mekap halal dengan mencari kilang yang memenuhi spesifikasinya,” katanya.

NUR AINI pernah mendapatkan bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mencari kilang halal di luar negara demi kesinambungan perniagaannya dalam mengeluarkan produk kosmetik halal. -Foto: IHSAN NURRAYSA GLOBAL SDN BHD

Cabaran keluarkan produk halal

Namun, perjalanan menghasilkan produk kosmetik halal bukan mudah. Permintaan tinggi menyebabkan kilang tempatan tidak mampu memenuhi kapasiti pengeluaran.

Beliau menjelaskan, proses mematuhi standard halal amat ketat, merangkumi bahan mentah, persekitaran, mesin dan logistik.

“Dalam kosmetik, gliserin antara bahan penting, tetapi kebanyakannya berasaskan haiwan. Kami di Nurraysa pula menggunakan gliserin daripada tumbuhan.

“Kemudian, bila hendak pasarkan di luar negara, setiap negara pula ada syarat berbeza seperti pengesahan kementerian kesihatan dan lain-lain, selain pensijilan halal.

“Penting untuk kami lihat semua perkara ini kerana prinsip Nurraysa bukan sahaja untuk hasilkan produk yang cantikkan wajah pemakai, tetapi juga memastikan kulit sihat dan diyakini suci,” katanya yang begitu menitikberatkan nilai keberkatan dalam perniagaan.

Lebih membanggakan, Nurraysa bukan sahaja menjual kosmetik halal, bahkan turut membuka peluang kepada wanita menjana pendapatan sendiri.

SELAIN memfokuskan perniagaan, Nur Aini menjelaskan, Nurraysa turut memberi pendidikan kepada masyarakat tentang kepentingan produk kosmetik halal dan mesra wuduk. -Foto: IHSAN NURRAYSA GLOBAL SDN BHD

Menerusi sistem ejen jualan, lebih 300,000 usahawan di Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia dan Filipina kini bersama jenama itu.

Dalam aspek pemasaran, Nur Aini tegas menjaga prinsip syariah.

“Kami tidak menonjolkan aurat model, tak mempamerkan kecantikan berlebihan dan memastikan setiap testimoni ditapis agar tidak bertentangan dengan nilai Islam.

“Tambahan pula, produk kosmetik dikeluarkan tidak terlalu berlebihan hinggakan warna-warna yang dipilih juga tidak terlalu terang atau menonjol, ustazah pun boleh guna,” ungkapnya.

Mesra wuduk, patuh syariah

Selain halal, Nur Aini menjelaskan, pihaknya turut mementingkan produk bersifat mesra wuduk agar Muslimah dapat menunaikan solat tanpa waswas.

BAGI Nur Aini, perniagan kosmetik bukan sekadar soal kecantikan luaran, sebaliknya ia merupakan ruang dakwah yang memartabatkan gaya hidup Muslimah selari dengan tuntutan agama. -Foto: IHSAN NURRAYSA GLOBAL SDN BHD

“Ia memudahkan solekan itu dicuci. Kalau tidak dibersihkan dengan betul akan ada sisa yang tertinggal dan menyukarkan air untuk sampai ke kulit.

“Bila air tidak telus, ia boleh menjejaskan ibadah seseorang,” jelasnya.

Nurraysa juga aktif mendidik pengguna agar memahami beza antara ‘mesra wuduk’ dan ‘halal’.

“Produk ‘mesra wuduk’ hanya merujuk kepada produk mudah dibersihkan, sedangkan ‘halal’ pula meliputi keseluruhan proses termasuk bahan mentah, kilang, mesin dan logistik,” katanya.

Menutup bicara, Nur Aini berkongsi aspirasi untuk menembusi pasaran Timur Tengah dalam tempoh terdekat.

“Kami juga bercita-cita memiliki kilang sendiri dalam tempoh tiga tahun akan datang agar dapat mengawal kualiti dan pensijilan halal produk syarikat dengan lebih menyeluruh,” ungkapnya.