Memperkukuh Konsensus Madani

Iklan
Perpaduan nasional tidak boleh dibina di atas asas kaum sahaja, ia mesti bersifat inklusif, meliputi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang etnik, wilayah atau agama. Foto hiasan

DALAM suasana politik dan ekonomi Malaysia yang sentiasa dinamik, cabaran utama dihadapi adalah memastikan kestabilan negara dan perpaduan rakyat yang berbilang kaum serta agama.

Usaha memperkukuh Konsensus Madani menjadi satu pendekatan penting yang perlu diperkasakan sebagai asas utama ke arah pembangunan negara yang adil, inklusif dan lestari.

Iklan
Iklan

Perpaduan nasional tidak boleh dibina di atas asas kaum sahaja.

Ia mesti bersifat inklusif, meliputi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang etnik, wilayah atau agama.

Iklan

Sebaliknya, ia harus menjadi satu naratif besar yang mengikat seluruh rakyat dalam semangat kerjasama, keadilan dan hormat-menghormati.

Sejarah membuktikan bahawa usaha memperkukuh perpaduan berasaskan kaum semata-mata sering gagal dan mencetuskan perpecahan.

Iklan

Contohnya, gagasan Payung Besar Melayu yang pernah dibawa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun bertujuan menyatukan bangsa Melayu, akhirnya gagal kerana perpecahan dalaman dan ketidakmampuan untuk menyatukan semua pihak secara inklusif.

Dalam konteks politik, pengiktirafan dominasi politik Melayu sebagai majoriti harus bermula daripada pengakuan dan pengukuhan kekuatan politik itu sendiri.

Konsensus perlu dimulakan dengan pengiktirafan bahawa Melayu sebagai majoriti etnik di negara ini, perlu diimbangi dengan pendekatan yang adil dan inklusif.

Hamzah Zainudin menegaskan bahawa konsensus ini tidak bermaksud menukar kerajaan sedia ada, tetapi jika kerajaan tidak mampu membawa pendekatan baharu yang lebih inklusif dan adil, rakyat berhak memberi mandat kepada kerajaan baharu.

Strategi politik beliau adalah untuk mengukuhkan politik identiti berasaskan kaum Melayu, dengan usaha mengembalikan kerjasama parti-parti Melayu seperti UMNO, Pas, Bersatu, Pejuang dan lain-lain dalam satu kerangka besar.

Namun, ramai menyedari bahawa naratif reset yang sering dimainkan sebegini hanyalah satu bentuk hipokrasi dan cubaan untuk rampasan kuasa dengan topeng idealisme.

Ia sering digunakan sebagai alat untuk mengaburi mata rakyat dengan retorik perpaduan, sedangkan hakikatnya ia lebih kepada usaha merebut kuasa politik melalui naratif ekstrem dan perpecahan kaum.

Sebaliknya, kenyataan yang lebih jujur ialah usaha memperkukuh Konsensus Madani yang luas dan menyeluruh.

Ia bukan naratif sempit yang berasaskan etnik sahaja, tetapi satu kerangka besar yang melibatkan seluruh rakyat Malaysia termasuk wilayah dan kaum.

Pencapaian kerajaan dan implikasi

Kerajaan hari ini telah menunjukkan usaha yang menyeluruh dalam memperbaiki struktur ekonomi negara.

Pelbagai reformasi fiskal dan ekonomi dilaksanakan secara berperingkat demi memastikan keberlanjutan kewangan negara.

Antaranya termasuk penstrukturan semula subsidi, pengenalan cukai baharu seperti cukai digital (DST), cukai minuman bergula, cukai barangan mewah, dan pelbagai kenaikan cukai lain yang bertujuan mengimbangi defisit fiskal dan memastikan pembangunan lestari.

Walau bagaimanapun, maklumat yang tersebar di media sosial seringkali mengandungi maklumat yang dipolitikkan dan tidak lengkap.

Banyak dakwaan tentang kenaikan harga minyak, tarif air, cukai dan subsidi yang dikatakan menyusahkan rakyat sebenarnya adalah sebahagian daripada usaha penyelarasan dan reformasi fiskal jangka panjang.

Sebahagian maklumat yang tular di media sosial seringkali mengandungi maklumat palsu, manipulasi fakta dan penokokan emosi untuk menimbulkan rasa marah dan rakyat.

Contohnya, dakwaan bahawa kerajaan menaikkan cukai dan tarif secara drastik tanpa penjelasan adalah tidak benar.

Hakikatnya, banyak kenaikan adalah hasil penyesuaian dengan realiti ekonomi global dan dalam usaha memastikan keberlangsungan fiskal negara.

Dalam menghadapi maklumat palsu dan tuduhan tidak berasas, pihak kerajaan dan NGO harus memperkasakan naratif Konsensus Madani yang lebih luas dan inklusif.

Ia menekankan bahawa kestabilan dan pembangunan negara tidak boleh dipisahkan daripada aspek keadilan sosial dan kerjasama pelbagai kaum.

Rakyat perlu berwaspada dan berpegang kepada fakta sahih, serta menolak mana-mana propaganda yang hanya bertujuan memecahbelahkan negara.

Memperkukuh Konsensus Madani bukan sekadar retorik politik, tetapi satu usaha kolektif yang memerlukan keikhlasan, keberanian dan iltizam semua pihak.

Ia adalah satu platform menyatukan seluruh rakyat Malaysia dalam kerangka keadilan, inklusiviti dan keberlanjutan ekonomi.

Hanya dengan memperkukuh Konsensus Madani, Malaysia akan terus maju ke hadapan sebagai sebuah negara harmoni, makmur dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

* Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)