Kesihatan Jokowi makin merosot?

Iklan
Perubahan ketara pada kulit beliau membangkitkan pelbagai spekulasi. - Foto Agensi

JAKARTA - Spekulasi terus timbul mengenai keadaan kesihatan bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi selepas banyak pihak bertindak mengunci mulut tentang perkara itu setelah pemimpin itu terpalit dakwaan memiliki ijazah palsu sebelum ini.

Jokowi, 64, yang tamat penggal perkhidmatan pada Oktober lalu dikatakan jarang muncul di khalayak umum termasuk ketika Ulang tahun ke-79 sambutan Hari Polis Nasional (Hari Bhayangkara) yang dihadiri penggantinya, Prabowo Subianto dan beberapa bekas Presiden lain.

Iklan
Iklan

Ketika acara itu, Jokowi dilaporkan bercuti dengan keluarganya di pulau peranginan Bali seperti dikongsi di media sosial beliau.

Tetapi, tindakan ahli politik kanan yang juga orang kepercayaannya, Luhut Pandjaitan berkongsi butiran tentang percutian dengan berkongsi gambar lama telah mencetuskan tanda tanya kepada banyak pihak.

Iklan

Luhut memaklumkan pertemuan itu turut disertai isteri masing-masing dan keadaan Jokowi masih belum pulih sepenuhnya.

"Laporan kesihatan beliau menunjukkan perkembangan yang positif. Lega mendengar khabar baik itu," menurut catatan Luhut di media sosial pada minggu lalu yang turut mendoakan pemimpin berkenaan.

Iklan

Tahap kesihatan Jokowi mengundang persoalan kepada orang ramai sejak akhir Mei lalu selepas gambar memaparkan bengkak dan bintik hitam pada mukanya ketika bertemu media di kediaman rasminya di Surakarta, Jawa Tengah.

Perubahan ketara pada kulit beliau membangkitkan pelbagai spekulasi dan orang ramai mula mengaitkan keadaan itu dengan penyakit autoimun seperti vitiligo atau psoriasis dan kemungkinan gangguan lebih serius yang jarang berlaku iaitu Stevens-Johnson Syndrome (SJS) disebabkan oleh alergi.

Khabar angin mula tersebar

Tindakan pemerintah yang enggan mendedahkan keadaan sebenar Jokowi menyebabkan pelbagai khabar angin tersebar secara meluas termasuk dakwaan beliau dikejarkan ke hospital kerana berada dalam keadaan kritikal pada bulan lalu.

Jokowi dikatakan tidak lagi tampil di khalayak umum sejak kebelakangan ini. - Foto Agensi

Rakaman video orang ramai mengerumuni pekarangan sebuah hospital itu turut meraih perhatian pengguna platform X, namun dinafikan pembantunya, Syarif Muhammad Fitriansyah.

Beliau cuba menepis khabar angin tidak munasabah dengan menjelaskan Jokowi hanya mengalami alahan pada kulit berpunca daripada keadaan cuaca ketika menghadiri upacara pengebumian Paus Francis di Vatican pada akhir April lalu.

Di bawah Peraturan Presiden Nombor 18/2018, bekas Presiden dan Wakil Presiden bersama isteri masing-masing berhak mendapat rawatan dan sokongan daripada pasukan perubatan Presiden dengan kesemua perbelanjaan ditanggung oleh bajet negara melalui Sekretariat Negara.

Namun, masih tidak jelas sama ada Jokowi ada menerima bantuan seumpama itu kerana Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi dan Syarif enggan memberi sebarang ulasan tentang perkara tersebut.

Tindakan menyembunyikan hal sebenar bertentangan dengan layanan diberikan bekas Presiden seperti Suharto, Abdurrahman Wahid, B J Habibie dan Susilo Bambang Yudhoyono.

Kesemua mereka tidak keberatan untuk berkongsi keadaan kesihatan masing-masing kepada orang ramai.

Penganalisis politik, Agung Baskoro percaya hal itu 'terus dirahsiakan' mungkin kerana keadaan Jokowi masih baik dengan rawatan perubatan sedia ada.

"Isu ini berpunca daripada pendirian Jokowi sendiri kerana daripada apa yang saya faham, Istana bersedia memberikan bantuan kepada bekas Presiden apabila diminta pada bila-bila masa.

"Selagi tiada arahan sedemikian, beliau akan terus menguruskannya sendiri," ujar Agung lagi. - Agensi