Kerajaan digesa keluarkan gula daripada senarai harga kawalan - NCCC

Iklan
Kerajaan digesa memainkan peranan dalam menggalakkan amalan pemakanan sihat termasuk mengeluarkan gula daripada senarai harga barangan kawalan.

SHAH ALAM - Kerajaan digesa memainkan peranan dalam menggalakkan amalan pemakanan sihat termasuk mengeluarkan gula daripada senarai harga barangan kawalan.

Pengurus Kanan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Saral James Maniam berkata, usaha itu bertujuan supaya harga pasaran bahan tersebut mencerminkan kos kesihatan sebenar sekali gus, mengurangkan pengambilan gula dalam pemakanan.

Iklan
Iklan

Ujarnya, langkah lain turut melibatkan perluasan cukai minuman bergula dan memperkenalkan pelabelan jelas di hadapan bungkusan seperti sistem Nutri-Grade di Singapura.

“Pembuat dasar juga perlu memberikan insentif cukai atau pelepasan import untuk bahan pengganti gula yang sihat.

Iklan

“Selain itu, sokong program reformulasi makanan agar pengilang dapat kurangkan gula tanpa menaikkan harga,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar beliau, negara lain telah membuktikan kejayaan mereka dalam isu tersebut seperti cukai gula di United Kingdom (UK) yang menyebabkan kebanyakan jenama mengurangkan kandungan gula pada produk mereka.

Iklan

Menurutnya, ia menjadikan penggunaan kandungan gula dalam minuman berkurang sebanyak 30 peratus.

“Di Mexico, cukai gula menurunkan pembelian minuman bergula sebanyak enam hingga 10 peratus, terutamanya dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

“Mereka tidak sekadar menaikkan harga, sebaliknya mereka mengubah tingkah laku industri dan melindungi kesihatan awam,” ujarnya.

Kata Saral, membuat pilihan makanan yang sihat sepatutnya menjadi hak untuk pengguna, bukan sekadar keistimewaan untuk masyarakat tertentu.

Ujarnya, rakyat perlu mendesak industri untuk lebih bertanggungjawab dan menuntut pelaksanaan polisi yang adil berhubung isu berkenaan.

"Apabila produk yang kurang gula dijual lebih mahal, itu bukan sekadar isu harga. Itu kegagalan dasar.

“Kita tidak sepatutnya dikenakan bayaran lebih hanya kerana memilih untuk sihat,” katanya.