SEREMBAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan memberi penerangan berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara kepada semua Ahli Parlimen pada minggu hadapan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua ahli Parlimen mempunyai ruang untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara berkenaan.
"Perdana Menteri akan buat penerangan kepada ahli Parlimen pada minggu depan dan ada sesi bersama dengan beliau.
"Ahli-ahli Parlimen ada ruang untuk mendapat penjelasan daripada Perdana Menteri dan Kabinet telah pun membincangkan mengenai perkara itu," katanya ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen(B2) Peringkat Negeri Sembilan di sini pada Khamis.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata, semua pihak seharusnya memahami bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara mempunyai prosesnya.
Malah jelas beliau, bukannya menjadi satu kesalahan sekiranya jawatan itu belum diisi kerana Hakim Besar Malaya telah pun dipertanggungjawabkan untuk menanggung tugas tersebut buat sementara waktu.
"Jawatan itu belum diisi bukan sesuatu yang salah sebabnya dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan, apabila adanya kekosongan, Hakim Besar Malaya akan menanggung kerja itu.
"Proses pelantikan Ketua Hakim Negara perlu melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas dinasihati oleh Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja," katanya.
Menurut Anthony, mesyuarat Majlis Raja-Raja pula dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan dan tidak sepatutnya ia didahului.
Ditanya sama ada beliau ada menerima surat daripada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang dilaporkan meminta supaya menyokong cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan berkaitan pelantikan kehakiman, Anthony berkata, beliau tidak menerimanya.
"Saya tak tahu sama ada mereka (ahli Parlimen) telah terima atau tidak. Tapi, saya tidak terima," katanya.
Jawatan Ketua Hakim Negara kosong selepas Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang juga wanita pertama memegang jawatan tertinggi kehakiman itu bersara wajib pada 2 Julai lepas manakala Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim bersara wajib daripada jawatan Presiden Mahkamah Rayuan pada 3 Julai.
Sebelum ini media melaporkan, sembilan Ahli Parlimen kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuntut satu RCI ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara.
Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa, pencalonan bagi beberapa jawatan hakim itu sudah dihantar oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) kepada kerajaan sebelum ini namun tidak diambil tindakan sewajarnya.
Sidang media turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
Dua lagi ahli Parlimen PKR yang tidak hadir namun menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.
Rafizi menegaskan penubuhan RCI merupakan langkah paling berkesan untuk menangkis segala spekulasi mengenai campur tangan dalam urusan kehakiman.