KUALA LUMPUR - Kerjasama dalam bidang ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), kewangan hijau dan pemerkasaan belia antara yang dibincangkan secara bersama menerusi Mesyuarat Trilateral Malaysia, Switzerland serta Sekretariat ASEAN.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas mengadakan pertemuan selama 30 minit dengan Ketua Jabatan Perhubungan Luar Switzerland, Ignazio Cassis dan Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Hourn.
Dalam konteks ekonomi, Mohamad berkata, pihaknya turut mengalu-alukan sokongan Switzerland terhadap perdagangan lestari dan inovasi.
“Kepakaran Switzerland dalam inovasi dan teknologi boleh menyumbang secara signifikan kepada peralihan ASEAN ke arah ekonomi digital dan mampan.
“Dalam bidang sosiobudaya, kerjasama ASEAN-Switzerland berhubung pengurusan bencana telah mengukuhkan ketahanan serantau ASEAN.
“Kami juga menghargai sumbangan dalam penyesuaian iklim, biodiversiti, pengurusan sumber air dan latihan vokasional, khususnya melalui Inisiatif TVET ASEAN-Swiss,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.
Malaysia menjadi hos AMM dan mesyuarat berkaitan yang merupakan acara tahunan utama dalam kalendar ASEAN di bawah tema Kepengerusian ASEAN 2025, 'Keterangkuman dan Kelestarian' bermula Selasa hingga Jumaat.
Mohamad berpandangan, ASEAN dan Switzerland memainkan peranan penting dalam memperjuangkan keamanan dan kemakmuran.
Tambahnya, Switzerland sebagai tuan rumah Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos jelas mempamerkan kedudukannya sebagai penggerak utama dialog global berkaitan cabaran ekonomi, sosial dan alam sekitar.
“Fokus WEF terhadap penyelesaian yang inklusif dan lestari sejajar keutamaan ASEAN.
“ASEAN dan Switzerland wajar menyuarakan pendirian kolektif bagi memperjuangkan dialog dan keamanan memandangkan dunia hari ini dipenuhi retorik permusuhan.
“Kedua-duanya juga mesti memperkukuh usaha mempromosikan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan penyelesaian konflik secara adil, terutamanya di Ukraine serta Gaza, Palestin,” ujarnya lagi.