[VIDEO] Usaha cari kotak hitam, naikkan bangkai helikopter perlukan bantuan agensi pakar - KPN

Iklan

ISKANDAR PUTERI – Usaha untuk mencari kotak hitam dan menaikkan bangkai helikopter yang terhempas ke dalam Sungai Pulai memerlukan bantuan serta kepakaran khusus daripada pelbagai agensi lain

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, sehingga kini pihaknya masih menunggu perkembangan lanjut berkaitan pencarian kotak hitam helikopter bagi membantu siasatan punca kejadian.

Iklan
Iklan

“Kita masih menunggu maklumat daripada kotak hitam. Usaha sedang dibuat dengan menggembleng beberapa agensi termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Maritim Malaysia dan lain-lain yang mempunyai kepakaran,” katanya selepas melawat lokasi kejadian di Jeti Maritim Sungai Pulai pada petang Khamis.

Hadir sama Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar.

Iklan

Mohd Khalid berkata, operasi menaikkan bangkai helikopter juga dijangka mengambil masa kerana memerlukan bantuan daripada pihak yang benar-benar berkemahiran dalam kerja-kerja dasar sungai.

“Setakat ini kita belum dapat pastikan bila bangkai helikopter itu dapat dinaikkan kerana ia perlukan kepakaran tertentu, mungkin juga daripada pihak ketiga.

Iklan

“Saya dimaklumkan kedalaman sungai ini kira-kira 25 kaki, itu juga menjadi cabaran besar untuk timbulkan bangkai helikopter,” ujarnya.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Sementara itu, beliau memaklumkan lima mangsa nahas iaitu tiga lelaki dan dua wanita telah menerima rawatan segera dengan dua daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan, manakala tiga lagi dilaporkan stabil.

“Seorang lelaki dan seorang wanita yang kritikal kini dirawat dan stabil.

"Keputusan imbasan MRI mereka belum keluar, jadi saya minta supaya jangan buat spekulasi,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan kebajikan pegawai serta anggota yang terlibat terus dijaga.

Sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan terhempas ke dalam Sungai Pulai ketika melakukan latihan Field Training Exercise (FTX) Bagi Multilateral Nuclear Security Detection Exercise, Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapore 2025 (MITSATOM 2025).

Kejadian pada jam 10.15 pagi itu berlaku berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jalan Cabang, Pekajang, Gelang Patah di sini.

Difahamkan, lima kru terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita yang terlibat dalam latihan itu bagaimanapun terselamat.

Helikopter tersebut yang dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada jam 9.51 pagi dengan lima orang penumpang termasuk juruterbang.