Jalan raya bukan trek basikal - MTPN

Iklan
Tangkap layar pertelingkahan yang tular di media sosial. Gambar kecil: Mohd Faiz

KUALA TERENGGANU – Penunggang basikal dinasihatkan supaya tidak menjadikan jalan raya sebagai laluan peribadi sehingga membahayakan keselamatan pengguna lain.

Naib Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Timur, Datuk Mohd Faiz Zulkifli berkata, kemudahan awam jalan yang dikongsi bersama perlu digunakan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Iklan
Iklan

"Jalan raya bukan trek perlumbaan atau ruang peribadi. Ia merupakan laluan bersama yang tertakluk kepada undang-undang serta keutamaan keselamatan semua pengguna.

"Tindakan menunggang dalam formasi berkumpulan, melintang jalan dan tidak mematuhi lorong khas bukan sahaja berisiko kepada penunggang sendiri, malah membahayakan pengguna lain, terutamanya kenderaan berat seperti bas dan lori," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi mengulas video tular di media sosial baru-baru ini yang memaparkan sekumpulan penunggang basikal mendakwa hampir dilanggar oleh sebuah bas awam.

Bagaimanapun, tindakan kumpulan penunggang basikal tersebut turut dipersoalkan kerana didapati telah menutup laluan trafik.

Iklan

Mohd Faiz berkata, walaupun penunggang basikal tidak memerlukan lesen memandu, mereka tetap tertakluk kepada beberapa peruntukan undang-undang sedia ada.

Jelas beliau, antaranya termasuk Seksyen 54 dan Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang menunggang secara cuai, membahayakan atau menyusahkan pengguna lain.

Selain itu, katanya, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dengan jelas menyatakan bahawa penunggang basikal tidak boleh beriringan lebih daripada dua orang dan tidak boleh menghalang aliran trafik.

"Dalam kes kemalangan, pemandu tidak boleh terus dipersalahkan secara automatik kerana jika penunggang basikal melanggar undang-undang dan menjadi punca kepada kejadian, mereka juga boleh dikenakan tindakan sivil atau jenayah," ujarnya.

Beliau yang juga Yang Dipertua MTPN Terengganu turut menegaskan bahawa tindakan menularkan rakaman insiden secara tidak bertanggungjawab hanya akan mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

"MTPN menyeru semua pihak supaya melaporkan kejadian kepada saluran rasmi seperti polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan tidak mengadili sendiri di media sosial," katanya.

Sebagai langkah penyelesaian jangka panjang, Mohd Faiz mencadangkan beberapa inisiatif termasuk pelaksanaan kempen pendidikan keselamatan jalan raya secara menyeluruh yang melibatkan semua golongan pengguna termasuk komuniti berbasikal.

"Kerajaan tempatan juga perlu menambah baik infrastruktur laluan khas basikal di kawasan yang bersesuaian dan memperketatkan penguatkuasaan terhadap semua pihak tanpa mengira kenderaan bermotor atau tidak," katanya.

Tambah beliau, berbasikal merupakan aktiviti sihat, namun tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan keselamatan dan peraturan jalan raya.

"Hormatilah hak dan keselamatan semua pengguna. Jalan raya bukan medan konflik atau pentas aksi, sebaliknya ruang perkongsian untuk semua," katanya.

Sebelum ini, polis telah merakam keterangan empat individu susulan insiden dipercayai melibatkan sekumpulan penunggang basikal yang didakwa menghalang laluan sebuah bas di Kilometer 23, Jalan Kuala Selangor–Kuala Lumpur arah Sungai Buloh pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, setakat ini dua laporan telah diterima, masing-masing daripada pemandu bas dan seorang penunggang basikal terbabit.