Penternak lembu ceroboh tanah kerajaan di Sungai Tangkas

Iklan
Penternak terbabit didapati mendirikan struktur kandang dan menempatkan lembu tanpa kebenaran di atas tanah milik kerajaan di Sungai Tangkas.

KAJANG – Beberapa notis dan tindakan penguatkuasaan telah dikeluarkan terhadap seorang penternak lembu yang menceroboh tanah kerajaan serta melakukan pembakaran terbuka di kawasan Sungai Tangkas dalam satu operasi bersepadu di sini.

Operasi tersebut melibatkan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Kajang, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Veterinar, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Iklan
Iklan

Turut serta dalam operasi ialah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pengurusan tanah perkuburan serta pemilik tanah, selain sokongan daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bangi, Ahli Majlis MPKj Zon 18, Ramadan Lotphi dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Tangkas.

Ahli Parlimen Bangi, Shahredzan Johan dalam kenyataan memaklumkan bahawa penternak yang terlibat didapati telah mendirikan struktur kandang dan menempatkan lembu tanpa kebenaran di atas tanah milik kerajaan.

Iklan

“Antara tindakan yang telah diambil ialah pengeluaran beberapa notis terhadap wakil penternak termasuk notis menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran, notis pengosongan tapak serta notis larangan pembakaran terbuka,” katanya.

Selain itu, JAS turut menjalankan siasatan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap penternak terbabit, manakala MPKj turut mengeluarkan kompaun atas kesalahan berkaitan buangan efluen.

Iklan

Menurut beliau lagi, semakan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada berlaku pencerobohan ke atas tanah rezab jalan dan kawasan tanah perkuburan Sungai Tangkas.

Shahredzan turut memaklumkan bahawa lokasi terbabit hanyalah salah satu daripada beberapa tapak yang dikenal pasti terlibat dalam aktiviti pembakaran terbuka dan pembuangan sampah haram yang menjejaskan penduduk sekitar.

“Agensi dan badan berkaitan akan terus menjalankan tindakan bersepadu bagi memastikan isu yang sekian lama membelenggu penduduk Sungai Tangkas ini dapat diselesaikan secara menyeluruh,” tambahnya.