BAYAN LEPAS - Lampu pada papan tanda 'Penang International Airport’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang sebelum ini tidak menyala serentak telah berfungsi seperti biasa.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memaklumkan masalah itu berpunca daripada ‘relay timer’ yang tidak diselaraskan, menyebabkan setiap huruf menyala dan padam pada waktu berbeza.
"Menurut MAHB, kerja-kerja penyelarasan semula telah dilakukan dan sistem kini telah disesuaikan bagi memastikan semua lampu menyala dan padam serentak.
"Masalah pencahayaan papan tanda tersebut sebelum ini mendapat perhatian warga maya yang memuat naik gambar keadaan lampu tersebut di media sosial," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Hon Wai berkata, MAHB menegaskan pihaknya komited memastikan aspek pencahayaan di lapangan terbang sentiasa berada dalam keadaan baik demi imej dan keselamatan kawasan sekitar.
Sebelum ini, tular sekeping gambar memaparkan papan tanda di bahagian landasan LTAPP tidak menyala dan mendapat pelbagai reaksi warganet.
Rata-ratanya menyalahkan LTAPP kerana didakwa tidak menjalankan kerja penyelenggaraan dengan baik.
Warganet juga mendakwa ia merupakan sesuatu yang memalukan kerana LTAPP bertaraf antarabangsa.
Ia berikutan papan tanda di bahagian landasan itu merupakan tanggapan pertama kepada pelancong asing yang datang ke negeri ini.