SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu sebuah kilang pemprosesan susu dan dua buah syarikat di sekitar Lembah Klang kerana disyaki mendalangi kartel pembekalan susu tepung ke sebuah jabatan kerajaan yang tidak memenuhi piawaian standard SIRIM Berhad (SIRIM).
Serbuan pada Rabu itu merupakan rentetan daripada maklumat yang diperoleh daripada siasatan terhadap tiga beranak.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, serbuan ke atas kilang pemprosesan susu tersebut bertujuan untuk memeriksa dokumen-dokumen berkaitan kontrak pembekalan susu tepung yang mereka peroleh termasuk dokumen kewangan.
“Serbuan yang dijalankan hari ini adalah rentetan daripada siasatan dijalankan ke atas empat beranak semalam (Selasa) dan siasatan awal turut mendapati, kebanyakan syarikat-syarikat peroleh tender pembekalan susu tepung ke jabatan kerajaan ini tiada kaitan dalam bidang pengeluaran, pemprosesan dan pengedaran makanan serta minuman.
“Latar belakang syarikat-syarikat ini terdiri daripada syarikat perabot, elektrik, kontraktor, hartanah, pengangkutan dan kejuruteraan awam.
"Ada antara syarikat ini menerima keuntungan antara 10 hingga 50 peratus hasil daripada pembekalan susu tepung tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, SPRM tidak menolak kemungkinan terdapat monopoli pembekalan susu tepung ke jabatan-jabatan kerajaan yang terlibat dan sehingga kini seramai enam individu telah dirakam percakapan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 melibatkan aktiviti pengubahan wang haram dan juga Akta Cukai Pendapatan 1967.
Pada Selasa, BOK SPRM menerusi Op White dijalankan bersepadu bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyerbu tiga kediaman dan sebuah syarikat sekitar Kuala Lumpur.
Dalam serbuan tersebut, SPRM telah membekukan sebanyak 75 akaun terdiri daripada 24 akaun individu dan 51 akaun syarikat berjumlah kira-kira RM174 juta.
Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan SPRM menyiasat tiga beranak yang terdiri daripada dua pemilik dan seorang pengarah syarikat kerana disyaki mendalangi kartel pembekalan susu tepung ke sebuah jabatan kerajaan yang tidak memenuhi piawaian standard standard SIRIM Berhad (SIRIM) bernilai kira-kira RM120 juta.
Suspek berusia lingkungan 40 hingga 70-an terdiri daripada pasangan suami isteri serta anak lelaki.
Azam Baki dilaporkan berkata, syarikat milik pasangan suami isteri tersebut dipercayai telah memonopoli tender pembekalan susu tepung tersebut sejak 20 tahun lalu.
Kesemua suspek melalui syarikat mereka disyaki membekalkan susu tepung ke sebuah jabatan kerajaan seluruh Semenanjung Malaysia yang tidak memenuhi piawaian keselamatan makanan sejak tahun 2021 hingga 2024.