Tiada kesan gigitan buaya pada jasad remaja lemas di sungai - MB Pahang

Iklan
Wan Rosdy berkesempatan menziarahi keluarga mangsa di Unit Forensik HTAA di sini pada Rabu.

KUANTAN - Tiada sebarang kesan gigitan buaya ditemui pada jasad remaja lelaki berusia 15 tahun yang ditemukan lemas di kawasan Empangan Sungai Kobat di sini pada Rabu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu disahkan pegawai penyiasat bahawa tubuh mangsa, Muhammad Isyraf Danish Razmi ditemui dalam keadaan baik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkembangan itu sekali gus menangkis dakwaan yang tersebar di media sosial bahawa mangsa lemas akibat disambar buaya.

"Berita mangsa digigit buaya tidak benar sebaliknya hanya khabar angin," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi keluarga mangsa di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada Rabu.

Sebelum itu, kejadian menimpa mangsa tular di media sosial selepas dikatakan mempunyai kaitan dengan kehadiran buaya sehingga mencetuskan kebimbangan dalam penduduk setempat.

Iklan

Wan Rosdy mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan turut merasai kesedihan atas musibah menimpa.

"Kerajaan negeri menghulurkan sumbangan termasuk sumbangan awal untuk uruskan jenazah mangsa.

"Sekiranya perlu, kita juga sedia menyediakan khidmat kaunseling kepada keluarga," katanya.

Muhammad Isyraf Danish dipercayai terjatuh ketika memancing bersama tiga rakannya di sungai berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Talam, Indera Mahkota di sini pada Selasa.

Kejadian lemas menimpa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Mahkota 2 itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika mangsa dipercayai turun ke gigi air untuk menarik tali pancing yang tersekat.

Mayat mangsa ditemui jam 12.40 tengah hari pada Rabu di kawasan Empangan Sungai Kobat kira-kira satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dipercayai tergelincir.