ACTIVE 2.0 perkukuh akses rawatan kanser serviks di Asia Tenggara

Iklan
Jasmin menunjukkan aplikator brakiterapi yang digunakan bagi merawat kanser pangkal rahim.

GEORGE TOWN – Usaha merapatkan jurang rawatan dan pemulihan pesakit kanser serviks di Asia Tenggara terus dipergiat menerusi pelaksanaan Projek ACTIVE 2.0 yang telah dilancarkan di Malaysia baru-baru ini.

Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih sebagai satu-satunya institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menyertai projek berkenaan sekali gus memperkukuh peranannya dalam bidang penyelidikan, latihan dan inovasi rawatan kanser serviks di negara ini.

Iklan
Iklan

Projek yang melibatkan enam negara serantau itu dijangka mampu meningkatkan kualiti penjagaan pesakit melalui latihan klinikal, peningkatan infrastruktur serta digitalisasi inovasi sepanjang tiga tahun pelaksanaannya.

Pengarah Projek ACTIVE 2.0, Paul Lee berkata, inisiatif ini dijangka memberi impak besar kepada sektor perubatan khususnya dalam memperluas akses kepada rawatan berkualiti tinggi bagi pesakit kanser serviks.

Iklan

“ACTIVE 2.0 adalah satu langkah penting dalam mempertingkatkan akses kepada penjagaan lanjutan di seluruh Asia Tenggara termasuk Malaysia.

“Melalui projek ini, bilangan pakar klinikal terlatih dalam bidang rawatan lanjutan kanser serviks dapat ditingkatkan, keupayaan hospital diperkukuh dan sokongan kepada pesakit dalam fasa pemulihan akan lebih menyeluruh.

Iklan

“Matlamat utama adalah untuk memberi harapan kepada semua pihak yang berdepan cabaran kanser serviks,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

IPPT yang kini berfungsi sebagai pusat latihan bagi kaedah rawatan brachytherapy, telah menempatkan dua orang pakar onkologi dan seorang ahli fizik perubatan sebagai sebahagian daripada komitmennya dalam projek tersebut.

Menurut Ketua Projek ACTIVE 2.0 IPPT, Dr Jasmin Jalil, pusat itu turut menjadi satu daripada 17 pusat latihan di Asia Tenggara yang memberi tumpuan kepada rawatan brachytherapy lanjutan bagi pesakit kanser serviks.

“Penyertaan IPPT dalam projek ini membuka ruang lebih luas kepada pelatih tempatan untuk menguasai teknologi rawatan terkini selain memperkukuh aspek penyelidikan.

“Projek ini turut menyumbang kepada pemerkasaan perkhidmatan perubatan negara dan memberi peluang kepada pakar-pakar kita untuk tampil di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa selain IPPT, projek ini melibatkan beberapa pusat rawatan onkologi terkemuka di Semenanjung, Sabah dan Sarawak untuk membentuk jaringan empat Pusat Kecemerlangan (CoE) dalam rawatan kanser serviks.

"Kesemua pusat tersebut akan menerima peralatan latihan radioterapi terkini serta peningkatan infrastruktur bagi menyokong proses pemulihan jangka panjang pesakit," katanya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser serviks kekal sebagai antara cabaran utama di Asia Tenggara dengan lebih 69,000 kes baharu dan 38,000 kematian direkodkan pada tahun 2022.

Walaupun teknologi rawatan radiasi moden menunjukkan hasil memberangsangkan, akses kepada rawatan canggih dan kepakaran masih menjadi kekangan utama. Justeru, pelaksanaan Projek ACTIVE 2.0 dijangka dapat menangani cabaran tersebut secara berkesan.