MUAR – Dua remaja masing-masing berusia 17 dan 20 tahun ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes samun berkumpulan berserta kecederaan dan rogol berkumpulan terhadap sepasang kekasih di kawasan ladang kelapa sawit di Pagoh.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa yang masing-masing berusia lingkungan 20-an kira-kira jam 7 petang pada Selasa.
Iklan
Iklan
“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar berjaya menahan dua suspek dalam dua tangkapan berasingan di kawasan Bakri dan Bukit Pasir sekitar jam 4 pagi, Rabu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol berkumpulan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun.
“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun menyebabkan kecederaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Raiz Mukhliz memaklumkan bahawa kedua-dua suspek kini direman bermula Rabu, dengan remaja berusia 20 tahun direman lima hari manakala yang berusia 17 tahun direman selama tiga hari.
Beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dan ketidaktenteraman awam.