Letupan paip gas Putra Heights: Selangor tidak keluarkan kertas putih

Iklan
Amirudin (kiri) ketika menjawab pertanyaan Mohamad Azmin ketika persidangan DUN Selangor Ke-15 di Wisma Dewan Negeri pada Rabu,

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menegaskan tidak akan mengeluarkan kertas putih berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights, sebaliknya bersedia membentangkan laporan siasatan menyeluruh dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dibahaskan secara terbuka.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang niat untuk menyembunyikan fakta atau melindungi mana-mana pihak kerana insiden tersebut membabitkan kepentingan serta keselamatan rakyat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika persidangan DUN Selangor Ke-15 di Wisma Dewan Negeri Selangor di sini pada Rabu.

Terdahulu, Mohamed Azmin mempersoalkan ketiadaan kertas putih dan menyifatkan laporan awal yang dikemukakan kerajaan negeri sebagai tidak konklusif dan tidak komprehensif.

Iklan

Beliau turut meminta jaminan supaya siasatan lebih menyeluruh dilakukan berdasarkan dapatan awal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang menyatakan berlaku perubahan topografi asal akibat aktiviti antropogenik.

Namun ujarnya, belum ada sebarang siasatan secara menyeluruh malah dalam taklimat diberikan kepada mereka pun dimaklumkan siasatan masih belum beralih kepada fasa tersebut untuk melihat aktiviti-aktiviti yang boleh dikaitkan dengan perubahan topografi asal dan meminta pengesahan daripada Menteri Besar sama ada siasatan terperinci akan dilaksanakan.

Iklan

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan oleh sebuah jawatankuasa khas yang turut membabitkan pakar bebas, termasuk pihak Engineering and Management Group atau Environmental Management Group (EMG).

“Itulah term of reference (TOR) yang kita gariskan kepada jawatankuasa yang akan dibentuk. Jawatankuasa yang telah dilantik itu akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca pecahan dan letupan,” ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan berlaku pengalihan sungai serta kerja-kerja penambakan tanah yang menyebabkan perubahan kepada struktur kawasan, yang kini menjadi fokus siasatan.

“Paling tidak kita dah ada ‘point’ sebabnya di situ. Tengoklah tanahnya berapa tinggi ditambun, siapa yang menambunnya dulu, kenapa ia ditambun dan kenapa sungai dialihkan. Ini semua perkara yang harus disiasat,” ujarnya.

Ujarnya lagi, kerajaan negeri terbuka untuk membawa laporan siasatan itu ke dalam DUN untuk dibahaskan, tanpa perlu menyediakan kertas putih.

“Saya rasa laporan tersebut wajar untuk kita bahaskan. Tak perlu sediakan kertas putih. Bawa laporan tersebut, bentangkan, bincangkan, dan kita sedia untuk berbincang.

“Kerajaan negeri tidak ada rasa nak sembunyikan apa-apa atau mempertahankan apa-apa kerana akhirnya, ini nasib rakyat. Rakyat menderita, rakyat terseksa, rakyat terkesan dan ini merupakan pendirian kerajaan negeri,” tambahnya.