SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu mengumumkan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.
Dalam satu kenyataan bank pusat berkenaan menyatakaan penurunan tersebut akan menyebabkan kadar siling dan lantai OPR masing-masing kini turun kepada tiga peratus dan 2.5 peratus.
"Langkah ini merupakan tindakan awal untuk mengekalkan trajektori pertumbuhan Malaysia yang stabil, di tengah-tengah prospek inflasi yang sederhana.
"Petunjuk semasa menunjukkan pertumbuhan global terus disokong oleh perbelanjaan pengguna dan aktiviti pendahuluan, selain sokongan daripada pasaran buruh yang positif, dasar monetari yang lebih longgar serta rangsangan fiskal," katanya.
Kali terakhir kadar OPR meningkat adalah pada Mei 2023 daripada 2.75 peratus kepada 3 peratus dengan kenaikan tersebut menyebabkan kadar siling dan lantai OPR masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.
Bagaimanapun BNM berkata, ketidaktentuan berkaitan tarif dan ketegangan geopolitik dijangka memberi tekanan terhadap unjuran pertumbuhan serta meningkatkan ketaktentuan pasaran kewangan global dan harga komoditi.
Bagi Malaysia, bank pusat itu menjangkakan pertumbuhan ekonomi akan terus dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh dan prestasi eksport berdaya tahan.
"Pertumbuhan pekerjaan dan gaji dalam sektor berorientasikan domestik serta pelaksanaan dasar berkaitan pendapatan akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah.
"Aktiviti pelaburan pula disokong oleh kemajuan projek berbilang tahun dalam sektor awam dan swasta, kadar realisasi pelaburan yang tinggi serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk negara,"ujarnya lagi.
Menurut BNM, kadar inflasi utama dan teras masing-masing mencatatkan purata 1.4 dan 1.9 peratus dalam lima bulan pertama tahun ini dan dijangka kekal sederhana sepanjang 2025.
"Tekanan inflasi daripada harga komoditi global dijangka kekal terhad manakala kesan daripada reformasi dasar domestik terhadap inflasi juga dijangka dapat dikawal," tambah kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut menjelaskan bahawa prestasi ringgit kekal dipengaruhi faktor luaran, namun prospek ekonomi yang kukuh dan reformasi berterusan akan terus menyokong nilai mata wang negara.