JITRA – “Abang nak minta mak halalkan setiap titik susu dari mak.”
Itulah kata-kata yang masih terngiang-ngiang di telinga Nazirah Ismail, 67, ibu kepada Mohamad Azim Izat Ishak, 32, terkorban bersama isteri dan empat anak mereka dalam tragedi lemas di Terusan Sungai Korok di sini.
Menurut pesara guru itu, kata-kata itu diluahkan Azim ketika menziarahinya di sebuah pondok pengajian agama di Kampung Palas di Kodiang pada 27 Jun lalu, sebelum kejadian menyayat hati itu berlaku.
“Dia peluk saya lama, lain macam. Dia minta maaf dan cakap abang tak dapat bagi mak senang, abang selalu bagi masalah. Saya memang perasan Itu bukan kata-kata biasa darinya,” katanya dalam nada sebak semasa ditemui di rumahnya di Taman Seri Aman pada Rabu.
Tambah Nazirah, Azim sempat memeluknya sebelum masuk ke dalam kereta, namun keluar semula untuk memeluknya sekali lagi.
“Masa tu saya tak fikir apa-apa. Tapi bila jadi macam ini, baru saya teringat. Dia peluk erat, macam tak nak lepas,” katanya.
Nazirah berkata, Azim seorang anak yang bertanggungjawab dan sangat rapat dengan keluarga.
Di rumah, jika tidak keluar bekerja, dia akan solat berjemaah bersama anak-anak, terutama waktu Maghrib dan Isyak.
“Dia suka bergurau dengan adik-beradik. Malam sebelum kejadian, dia suap adik kelimanya, Shuhada,” katanya.
Menurutnya, pagi hari kejadian, dia tidak ke lokasi kerana tidak kuat semangat, selepas mendapat berita tentang penemuan kereta mereka di Terusan Sungai Korok kerana berita kehilangan itu benar-benar meruntun jiwanya.
Lebih menyayat hati, cucunya, Putri Qisya Nur Izzat, 12, yang terselamat dalam tragedi itu, turut mengalami mimpi luar biasa pada pagi kejadian.
“Dia bangun menangis dan beritahu saya, walid datang dalam mimpi dan pesan, ‘kakak duduk elok-elok, mulai hari ini kami akan tengok kakak dari jauh sahaja’,” katanya.
Nazirah memujuk cucunya dengan mengatakan bahawa walid dan keluarganya sudah ‘pergi jauh’ kerana kereta mereka telah dijumpai.
“Saya kata, kakak kena sabar. Saya pun sedih, sebab saya yang mengandungkan walid sembilan bulan,” katanya dalam nada pilu.
Mengulas mengenai kehilangan empat cucu dalam kejadian tersebut, Nazirah berkata, Putra Rayyan, 9, antara yang menunjukkan perubahan ketara dan menjadi sangat manja dengannya.
Sebelum ini, media melaporkan enam sekeluarga ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta yang terjunam ke dalam Terusan Sungai Korok pada Isnin.
Mangsa ialah Azim, isterinya Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak mereka iaitu Putra Rayyan, Hawa Adriana, 8, Annayla Humaira, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.