SHAH ALAM – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan menerima bayaran kompaun sebanyak RM10,000 daripada Mohamad Shafiq Abd Halim atas kesalahan memuat naik kandungan jelik melampau yang menyentuh sentimen kaum dan agama menerusi aplikasi TikTok pada 31 Mac lalu.
SKMM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tindakan itu diambil hasil siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], selepas mendapat kebenaran pengkompaunan daripada Jabatan Peguam Negara.
Iklan
Iklan
“SKMM memandang serius penyalahgunaan platform digital bagi menyebarkan kandungan berunsur perkauman, keagamaan ekstrem, atau yang menyentuh institusi negara.
“Pengguna media sosial diingatkan agar sentiasa beretika, berhemah dan bertanggungjawab dalam setiap kandungan yang dimuat naik atau dikongsi,” menurut kenyataan itu, pada Rabu.
Tambah kenyataan tersebut, SKMM kekal komited untuk memastikan ruang siber negara kekal selamat, terkawal dan kondusif, seiring dengan usaha memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat di Malaysia.