Pastikan lokasi MyKiosk sesuai dan strategik

Iklan
Sidang DUN Selangor berlangsung di Dewan Negeri Selangor di sini pada Rabu.

SHAH ALAM – Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta menjalankan pemantauan dan siasatan bagi memastikan peletakan unit gerai MyKiosk dilaksanakan di lokasi sesuai, selamat dan teratur.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim berkata, langkah itu penting bagi memastikan lokasi MyKiosk memudahkan urusan antara peniaga dan pelanggan.

Iklan
Iklan

“Saya minta semua PBT buat pemantauan dan siasatan sebaiknya sebelum meletakkan MyKiosk. Biar teratur dan berada di tempat sesuai.

“Sekiranya didapati tidak sesuai, kita beri tempoh tiga bulan. Jika lokasi tidak menarik peniaga atau kurang sambutan, maka kita akan cari lokasi baharu kerana MyKiosk boleh dipindahkan,” ujarnya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Afif Bahardin (PN–Taman Medan) berhubung keperluan meneliti semula kesesuaian lokasi MyKiosk dan kadar cagaran dikenakan sekiranya terlalu tinggi ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor di sini pada Rabu.

Suee Lim memaklumkan, sebanyak 1,028 MyKiosk dibina di seluruh negeri dengan jumlah peruntukan RM20.33 juta.

Iklan

Daripada jumlah itu, sebanyak RM19,508,520.56 dibiayai menerusi peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) manakala baki RM822,211 ditanggung PBT bagi kerja-kerja penyediaan tapak, tertakluk kepada keperluan dan keadaan fizikal di lokasi berkenaan.

“Secara purata, kos pembinaan seunit MyKiosk adalah RM19,785.80 merangkumi kos struktur dan penyediaan tapak mengikut kesesuaian lokasi,” tambahnya.

MyKiosk merupakan inisiatif kerajaan di bawah KPKT bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.