Tokoh politik salahguna unsur agama perlu ditegur

Iklan
Felza Zulhibri

KUANTAN – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa agama digesa untuk memantau serta menegur mana-mana tokoh politik yang menyalahgunakan unsur agama dalam ceramah mereka.

Pengerusi Pertubuhan Huffaz Pahang, Dr Felza Zulhibri Abd Hamid Al-Hafiz berkata, pemimpin sepatutnya menunjukkan contoh akhlak serta tutur kata yang berhemah.

Iklan
Iklan

“Kami ingin mengingatkan mereka bahawa tidak sepatutnya menggunakan retorik yang memperlekehkan perkara-perkara ghaib yang diimani oleh umat Islam.

“Pemimpin yang benar-benar bertanggungjawab akan menjaga sempadan agama dalam ucapan, lebih-lebih lagi di hadapan khalayak awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Menurut Felza Zulhibri, umat Islam seharusnya berwaspada terhadap pemimpin yang mempermainkan unsur agama demi meraih sorakan dan sokongan politik yang bersifat murahan.

Jelasnya, Islam menuntut umatnya untuk bertanggungjawab atas setiap tutur kata yang diucapkan.

Iklan

“Jangan jadikan agama sebagai bahan lawak jenaka dan hormatilah perkara-perkara ghaib yang telah dijelaskan dalam al-Quran dan Sunnah.

“Dan janganlah kamu memperolok-olokkan ayat-ayat ALLAH (Surah al-Baqarah: 231),” ujarnya.

Sebelum itu, Felza merujuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengaitkan malaikat dengan partinya sebagai satu perbuatan tidak beradab.

Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk penghinaan terhadap makhluk suci ciptaan Allah yang menjalankan tugas dengan penuh taat tanpa sebarang bantahan.

“Malaikat adalah makhluk ALLAH yang maksum dan tidak melakukan kesilapan. Dalam al-Quran disebut mereka tidak pernah derhaka kepada ALLAH dan sentiasa melaksanakan apa yang diperintahkan kepada mereka (Surah at-Tahrim: 6).

“Menjadikan malaikat sebagai bahan jenaka dalam wacana politik adalah satu bentuk kebiadaban terhadap agama dan akidah umat Islam,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa dalam sejarah, Iblis pernah menganggap dirinya lebih baik daripada Nabi Adam dan dilaknat ALLAH. Namun, kini ada pula yang seolah-olah mengangkat dirinya lebih hebat daripada malaikat.

Tambah beliau, dalam surah al-Baqarah diperlihatkan bagaimana Bani Israel mengkambinghitamkan Malaikat Jibril dan Mikail untuk menutup permusuhan mereka terhadap Nabi Muhammad SAW.

“Disangkakan manusia selain Bani Israel tidak akan sanggup melibatkan malaikat dalam apa jua perbalahan sekalipun.

“Namun kini jelas masih ada yang meniru perangai Bani Israel yang biadab dan tidak menghormati para malaikat,” tegasnya.

Pada Selasa, Ahmad Zahid mengakui berlaku kekhilafan dalam kenyataannya yang mengandungi perumpamaan mengenai malaikat, seperti yang tular menerusi sebuah video baru-baru ini.

Menurut beliau, kenyataan itu diungkapkan dalam suasana penuh emosi ketika menjelaskan tekanan yang dihadapi sepanjang memegang amanah sebagai pemimpin nombor satu parti tersebut.