SETIAP kali waktu gaji atau musim-musim tertentu tiba, pusat beli-belah pasti dipenuhi pelanggan yang sibuk berbelanja.
Ada yang sanggup mengeluarkan berbelanja besar untuk mendapatkan telefon pintar baharu, kasut berjenama atau beg tangan eksklusif walaupun kad kredit hampir ‘meletup’ atau gaji cukup-cukup makan.
Bukan apa, adakalanya barangan itu jarang dibeli. Maka tidak hairanlah jika ada yang rela mengeluarkan duit yang banyak supaya ia boleh dipakai lebih lama.
Persoalannya, adakah membeli barang mahal sebegitu dianggap membazir dalam pandangan Islam?
Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil menjelaskan, membeli barang mahal tidak semestinya tergolong dalam kategori membazir kerana ia bergantung kepada kemampuan kewangan seseorang dan niat pembeli itu sendiri.
Mengulas lanjut, isu pembaziran timbul apabila seseorang berbelanja melebihi kemampuannya semata-mata untuk menunjuk-nunjuk atau memuaskan hawa nafsu.
“Kalau dia beli barang di luar kemampuannya, mahal pula dan dalam keadaan hanya mengikut hawa nafsunya semata-mata nak menunjuk, itu mungkin termasuk dalam larangan makruh ataupun haram,” jelasnya.
Tegas beliau, harga sesuatu barangan itu bukanlah ukuran mutlak kepada status pembaziran atau tidak.
“Mahal itu bukan satu benda yang automatik haram, bergantung juga kepada kemampuan (individu) dan kualiti (barang dibeli).
“Kadang-kadang beli mahal, dapat jimat masa lebih panjang. Misalnya beli kasut mahal, dapat tahan tiga hingga empat tahun, tetapi beli yang murah, dua hingga tiga bulan (sudah) rosak,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, Islam melarang umatnya daripada membazir, malah menyifatkan pembazir sebagai saudara syaitan.
“Demikian menurut Abdullah bin Mas’ud. Begitu juga dengan pandangan Abdullah bin Abbas yang mengatakan, pembaziran adalah menginfakkan harta kepada jalan tidak benar.
“Oleh yang demikian, jauhkanlah diri daripada perbuatan membazir. Kita tidak mahu mensia-siakan nilai harta kita dengan perbuatan ini dan disifatkan sebagai saudara syaitan,” katanya sebagaimana dipetik dalam laman sosial Facebook My #HadithTime.