LOMBOK UTARA – Misteri kematian Brigadir Muhammad Nurhadi, anggota Bahagian Tatatertib dan Pengawasan (Bidang Propam) Polis Daerah (Polda) Nusa Tenggara Barat (NTB), akhirnya terbongkar apabila siasatan mendapati beliau dibunuh oleh dua pegawai atasan semasa menghadiri sebuah pesta di vila di Gili Trawangan pada 16 April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polda NTB, Komisioner Besar Syarif Hidayat berkata, mangsa telah dipukul oleh Penolong Pesuruhjaya Polis (Kompol) I Made Yogi Purusa Utama dan Inspektor Haris Candra selepas didakwa cuba menggoda seorang wanita dikenali sebagai M, yang mempunyai hubungan rapat dengan salah seorang suspek.
“Berdasarkan keterangan saksi di lokasi kejadian, mangsa dilihat mendekati dan merayu wanita terbabit sebelum insiden berlaku,” katanya dalam sidang media di Mataram pada Jumaat lalu.
Pada awalnya, kematian Nurhadi dilaporkan sebagai kes lemas, namun selepas pihak keluarga menzahirkan keraguan terhadap kesan lebam dan kecederaan pada tubuh mangsa, pihak berkuasa mengambil langkah menggali semula kubur dan menjalankan bedah siasat kali kedua.
Hasil pemeriksaan forensik mendedahkan bahawa terdapat kecederaan fizikal yang konsisten dengan unsur kekerasan, selain tanda-tanda bahawa mangsa telah mengambil bahan dipercayai mengandungi dadah jenis psikotropika.
Sampel berkaitan telah dihantar ke Makmal Forensik Ibu Pejabat Polis Republik Indonesia (Mabes Polri) untuk analisis lanjut.
Ekoran hasil siasatan itu, dua pegawai polis berkenaan serta wanita terbabit telah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 351(3) Kanun Keseksaan Indonesia kerana menyebabkan kematian akibat penganiayaan, serta Seksyen 359 atas kecuaian yang mengakibatkan kehilangan nyawa.
Kedua-dua suspek juga telah diberhentikan serta-merta daripada pasukan polis selepas menjalani prosiding tatatertib pada 27 Mei 2025.
Kes tragik ini mencetuskan kemarahan masyarakat dan mengundang perbandingan dengan kes berprofil tinggi melibatkan bekas Ketua Bahagian Tatatertib Polis Indonesia, Ferdy Sambo, yang sebelum ini disabitkan kesalahan membunuh bawahannya, Brigadir Nofriansyah Yosua Hutabarat. – Agensi