Khurafat: Air mata belum kering, tanah kubur sudah dicuri

Iklan
ILUSTRASI suasana tanah perkuburan selepas pengebumian. Gambar ini disimulasikan semula bagi menggambarkan realiti khurafat yang berlaku di sebahagian kawasan pusara. Gambar kecil: FA'IZZAH MASHOR

LANGIT mendung pagi itu seolah-olah turut berkabung. Angin menderu perlahan, menyapa pusara yang masih merah tanahnya. Di hujung tanah perkuburan, kelihatan susuk tubuh seorang wanita sedang duduk diam di sisi sebuah kubur.

Sekilas pandang, dia tampak seperti penziarah biasa, mungkin saudara, mungkin sahabat. Namun, setelah beberapa ketika, dia mula menggali perlahan tanah di sisi nisan, lalu memasukkan cebisan tanah itu ke dalam uncang kecil.

Iklan
Iklan

Dia bangkit, menunduk seketika dan berlalu pergi, tanpa bacaan doa, tanpa lafaz istighfar. Apa yang dibawanya bukan sekadar tanah, tetapi niat yang meruntuhkan aqidah.

Beginilah wajah sebenar khurafat yang sedang hidup dan bernafas di tengah masyarakat moden kita. Bukan lagi dilakukan oleh tok batin di hujung kampung atau bomoh tua di pinggir hutan.

Iklan

Zaman berubah, khurafat masih tebal

Ia kini dipraktikkan oleh mereka yang memegang telefon pintar di satu tangan dan uncang tanah kubur di tangan yang satu lagi.

Iklan

Di saat jenazah baru saja dikembumikan, ada tangan-tangan manusia yang tidak sabar menanti untuk mengutip “berkat” dari tanah yang masih basah.

Kisah tragis ini bukan dongeng. Ia benar-benar berlaku kepada keluarga arwah Nuryl Sahirah, seorang pelajar muda yang maut dalam kemalangan bas UPSI yang mengejutkan negara.

WALAUPUN kita sekarang berada di zaman digital dan moden, amalan khurafat masih menebal dalam diri sebahagian daripada umat Islam. Gambar hiasan/Foto Canva

Pemergiannya mengundang ribuan doa. Namanya disebut dalam setiap status sedih. Gambarnya dikongsi dengan ucapan takziah.

Namun selepas itu, pusaranya menjadi lokasi pelik, bukan sekadar untuk menabur bunga dan membacakan Yasin, tetapi menjadi tempat orang tidak dikenali menggali tanah dan membawa pulang cebisan kecil bumi sebagai “penjaga diri”.

Bapanya sendiri terkedu apabila melihat perbuatan itu dengan mata kepala sendiri.

Kepada orang yang ambil tanah kubur itu, saya harap tampil ke depan, mohon maaflah kepada kami. Kalau tidak kepada kami sekalipun, mohon ampunlah kepada ALLAH SWT, katanya.

Syirik: Tanah kubur bukan medan kaut berkat

Tidakkah kita sedar, bahawa dalam Islam, apa-apa yang disandarkan kepada selain ALLAH itu adalah syirik?

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang datang kepada dukun lalu membenarkan apa yang dikatakannya, maka dia telah kufur terhadap apa yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Jika mempercayai kata-kata dukun pun sudah dikira kufur, apatah lagi mempercayai bahawa tanah kubur mempunyai kuasa untuk memelihara, memikat atau memakmurkan rezeki?

Media sosial pula menyuburkan lagi budaya mistik ini. Gambar-gambar pusara yang ‘bersih’ dan ‘putih’ dikongsi dengan kapsyen yang penuh emosi. “Tenangnya wajah arwah… pasti syahid.” “Kuburnya bercahaya, subhanallah.”

Maka ramailah yang terpanggil untuk datang menziarah, kononnya untuk mendoakan, tetapi niat di hati hanya ALLAH yang tahu.

Ada yang membawa pulang air dari tanah perkuburan, ada yang ambil gambar nisan dan simpan sebagai “penenang hati”. Apakah ini ziarah atau ritual syirik yang kita normalisasikan?

Mereka yang mempercayai tanah kubur sebagai azimat bukan sahaja sedang menzalimi si mati, tetapi sedang memijak maruah agama sendiri.

WALAUPUN kita sekarang berada di zaman digital dan moden, amalan khurafat masih menebal dalam diri sebahagian daripada umat Islam. Gambar hiasan/Foto Canva

Kubur sepatutnya menjadi tempat rehat terakhir, bukan medan mengaut “berkat” palsu.

Kita hidup dalam zaman pelik, di mana orang menangis apabila mendengar berita kematian, tetapi tangan mereka sendiri menggali pusara untuk kepentingan dunia. Ironi yang menyakitkan.

Mantapkan pendidikan akidah

Sudah tiba masanya kita bertanya: di manakah garis akhir kejahilan ini?

Pendidikan akidah mesti ditegakkan semula, bukan sekadar dalam buku teks, tetapi dalam kehidupan.

Kita perlu ingatkan diri dan anak-anak kita bahawa segala bentuk bantuan, pelindung, keberkatan dan rezeki hanyalah daripada ALLAH SWT.

Tanah kubur hanyalah tanah, tidak lebih, tidak kurang. Jika ada yang membawa pulang tanah itu untuk tujuan selain daripada pengkebumian, maka dia telah mengkhianati dua perkara: kesucian pusara dan keimanan dirinya sendiri.

Hormatilah mereka yang telah pergi. Jika benar kita mahu mendoakan, bacalah Al-Fatihah. Jika benar kita mahu memberi, sedekahkanlah amal jariah.

Tapi jika niat kita untuk mengambil sesuatu dari pusara, pulanglah kerana kamu sedang menggali bukan sekadar tanah, tetapi juga dosa yang akan kamu pikul hingga ke akhirat.

***FA'IZZAH MASHOR merupakan mahasiswa Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)