INDAHNYA ajaran Islam apabila setiap sesuatu yang berlaku itu ada garis panduan yang diajarkan ALLAH SWT melalui wahyu yang disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW.
Tidak terkecuali dalam fenomena alam seperti gerhana bulan penuh yang berlaku baru-baru ini.
Sinar Islam Plus menemu bual Ahli Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Negeri Perak, Ustaz Ahmad Humaizi Abdul Wahab bagi menjelaskan perkara itu lebih mendalam.
Beliau memulakan kalam dengan bertasbih kepada ALLAH SWT yang mengatur pergerakan makhluk-makhluk-NYA termasuk pergerakan matahari, bulan dan bumi yang berpusing dan berputar di atas orbitnya seperti dirakamkan ALLAH dalam ayat ke-33 surah al-Anbiya’.
Ujarnya, fenomena gerhana bulan berlaku apabila bumi berada pada satu garis lurus dan ia menghalang cahaya matahari daripada sampai ke bulan.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan itu dua tanda daripada tanda-tanda kebesaran ALLAH SWT. Gerhana itu bukan kerana mati atau hidupnya seseorang. Apabila kamu melihatnya (gerhana), maka berdoa, bertakbir, bersedekah dan tunaikanlah solat gerhana.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Ujarnya, para ulama berpesan ketika berlakunya gerhana, maka ambillah peringatan berikut:
1 - Tunaikanlah solat sunat gerhana secara berjemaah.
2 - Perbanyakkan istighfar dan taubat.
3 - Perbanyakkan sedekah.
4 - Jangan terpengaruh dengan perkara khurafat dan tahyul.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, gerhana merupakan sebahagian daripada perbahasan ilmu falak.
“Ilmu falak merujuk kepada ilmu yang membicarakan mengenai jirim-jirim di angkasa di atas orbitnya serta kesannya terhadap fenomena alam.
Selain itu ujarnya, perbincangan mengenai ayat-ayat kauniah dalam al-Quran dan hadis juga termasuk dalam pengertian ilmu falak, di sampung aspek-aspek astronomi dan angkasa lepas yang lain.
Kelebihan belajar ilmu falak
Beliau yang juga seorang guru kemudiannya menyenaraikan kelebihan mempelajari ilmu falak, antaranya:
1 - Ilmu falak mendekatkan pemikiran kepada fenomena alam semesta ciptaan ALLAH SWT secara tidak langsung mendekatkan diri kepada kebesaran-NYA.
3 - Ilmu falak membolehkan kita mengira dengan ketepatan yang tinggi waktu solat, permulaan puasa, penentuan tarikh hari raya, gerhana bulan dan matahari serta hari wufuk di Arafah dan ibadah-ibadah lain.
4 - Ilmu falak banyak terkait dengan waktu dan masa. Maka secara tidak langsung mendidik kita agar menjaga ketepatan masa dan menguruskannya dengan baik.
5 - Ilmu falak tradisional menggalakkan seseorang dalam membuat pemerhatian berterusan terhadap fenomena alam.
6 - Ayat kauniah (membahaskan mengenai makhluk tidak bernyawa bernyawa seperti langit, bumi, cakerawala, gunung-ganang, lautan dan sebagainya) dalam al-Quran merupakan cabang ilmu falak.
7 - Fenomena alam semesta seperti pergerakan bintang, matahari, bumi dan bulan yang boleh dihitung dan dicerap mencetuskan keinsafan kepada seorang pengkaji ilmu falak.
Sebelum mengundurkan diri, Ustaz Ahmad Humaizi berpesan ketika berlakunya fenomena gerhana, umat Islam hendaklah:
1 - Perbanyakkan zikrullah, istighfar dan bersedekah.
3 - Mempelajari ilmu falak mendekatkan seseorang kepada kebesaran dan keagungan ALLAH SWT yang mencipta alam semesta.
4 - Al-Quran mengisyaratkan pelbagai fakta yang berkaitan dengan ilmu falak dan astronomi yang telah terbukti benar melalui kenyataan sains dan teknologi pada masa kini.