ROMPIN - Polis sedang mengesan suspek kes pecah masuk rumah dan melarikan kereta milik seorang guru wanita dalam kejadian di Prima Gadak, Muadzam Shah di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, dalam kejadian itu, mangsa berusia 33 tahun mendakwa kerugian lebih RM33,000 apabila kereta, barang kemas dan sejumlah wang tunai dilarikan penjenayah.
Menurutnya, pada malam kejadian, mangsa bersama dua anak berusia satu dan enam tahun berada di rumah bagaimanapun tidak diganggu atau dicederakan.
"Kejadian itu hanya disedari selepas mangsa bangun dari tidur kira-kira jam 7 pagi.
"Wanita yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah agama swasta itu awalnya menyedari telefon bimbit dan beg tangan miliknya hilang.
"Mangsa kemudiannya ternampak almari baju yang berada di hadapan pintu bilik terbuka dengan kesan selongkar dan setelah memeriksa bahagian luar rumah mendapati kereta jenis Perodua Myvi miliknya hilang," katanya.
Sharif Shai berkata, hasil pemeriksaan, mangsa dapati barang kemas iaitu cincin dan gelang serta wang tunai RM250 juga hilang.
"Pihak polis tidak menolak kemungkinan penjenayah memasuki rumah itu melalui tingkap tandas.
"Semasa kejadian hanya pengadu dan dua anak yang masih kecil berada di rumah manakala suami berada di tempat kerja di sebuah kilang susu di sini," katanya.
Jelas beliau, hasil siasatan di lokasi kejadian, pihaknya menemui semula dokumen-dokumen penting dan beg tangan milik mangsa yang ditinggalkan suspek di belakang rumah.
"Pihak polis sedang mengesan suspek terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 / 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah dan curi kenderaan," katanya.