DUN Sabah: 1,200km jaringan paip usang jadi punca gangguan air

Iklan
Shahelmey (kiri) ketika hadir bersama barisan menteri Sabah di DUN Sabah.

KOTA KINABALU – Sabah berdepan cabaran serius apabila perlu menangani isu jaringan paip usang sepanjang 1,200 kilometer (km), yang menjadi punca utama kepada kebocoran paip dan gangguan bekalan air kepada pengguna.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, kerajaan negeri sememangnya mempunyai perancangan untuk menggantikan paip-paip lama tersebut, namun usaha itu berdepan kekangan kos yang tinggi.

Iklan
Iklan

“Kita mempunyai jaringan paip lama daripada jenis simen asbestos (AC) sepanjang kira-kira 1,200 km. Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) memang mempunyai perancangan untuk mengganti paip-paip usang itu melalui program penggantian paip usang serta menaik taraf paip transmisi dan agihan di daerah seperti Sandakan, Keningau, Kota Kinabalu dan sebagainya.

“Namun, jika kita mahu menggantikan semua paip usang itu secara serentak, kos yang diperlukan amat tinggi. Oleh itu, pelaksanaannya akan dilakukan secara berfasa,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Anwar Ayuub (STAR–Liawan) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini pada Selasa.

Iklan

Menurut Shahelmey, selari dengan usaha jangka panjang tersebut, pihak JANS sejak tahun lalu telah melantik kontraktor pembaikan di setiap zon bagi melaksanakan kerja-kerja membaiki paip bocor dan rosak di seluruh negeri.

“Ini merupakan antara usaha kita untuk membaiki dan menggantikan paip-paip yang usang dan bocor yang sedang berlaku di beberapa kawasan di negeri Sabah,” katanya.

Iklan

Sebelum itu, Anwar dalam soalan tambahannya meminta penjelasan sama ada kerajaan negeri mempunyai perancangan atau program tersusun bagi menggantikan paip lama yang sering pecah, khususnya di kawasan yang kerap mengalami gangguan bekalan air akibat kebocoran paip usang.