SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengumumkan pelan pemulihan menyeluruh susulan insiden letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu yang menjejaskan dua kawasan utama, iaitu Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, meskipun sebanyak 511 unit rumah terkesan, tiada kehilangan nyawa berlaku hasil tindakan pantas pasukan penyelamat termasuk bomba dan polis yang tiba dalam tempoh 10 minit selepas panggilan kecemasan diterima.
"Seramai 613 keluarga terpaksa dipindahkan dan kerugian awal dianggarkan sebanyak RM65.4 juta," katanya semasa membentangkan usul khas di bawah Peraturan Tetap 13(1) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15, di sini, pada Selasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas bantuan awal berjumlah RM10,000 untuk rumah yang musnah sepenuhnya, RM5,000 untuk rumah separa musnah dan penyewa.
Katanya, fasa awal pemulihan menyaksikan Jemaah Menteri meluluskan peruntukan RM40 juta bagi pembinaan semula dan baik pulih rumah, serta RM6 juta untuk pembaikan infrastruktur awam.
“Sime Darby Property dilantik membina semula kediaman di Taman Putra Harmoni kerana mereka pemaju asal, manakala Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membaik pulih rumah di Kampung Kuala Sungai Baru,” katanya.
Setakat ini, kerja-kerja pembinaan telah mencapai kemajuan antara 22 hingga 24 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2027 bagi Taman Putra Harmoni serta Oktober 2025 untuk Kampung Kuala Sungai Baru.
Kerajaan negeri turut menyediakan bantuan sewa rumah berjumlah RM6,000 kepada 455 keluarga, selain percetakan geran rumah baharu secara percuma. Kos siling baik pulih ditetapkan antara RM30,000 hingga RM150,000 bergantung kepada tahap kerosakan, dan kini sedang dicadang untuk dinaikkan.
Dalam pada itu, hasil siasatan teknikal mendapati insiden berpunca daripada mendapan tanah sejak 25 tahun lalu yang menyebabkan paip berganjak dan mengalami keletihan logam sebelum letupan tercetus akibat geseran.
“Siasatan yang dijalankan oleh empat agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), serta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan tiada unsur jenayah. Letupan tidak berpunca daripada kerja pengorekan di permukaan tanah,” katanya.
Kerajaan negeri turut menubuhkan Jawatankuasa Khas Adaptasi Risiko Saliran Paip Gas yang melibatkan agensi teknikal, pakar bebas dan dua wakil pembangkang untuk mengemukakan cadangan keselamatan serta pelan pembangunan masa depan.
“Semua dapatan siasatan akan dibukukan dan diserahkan kepada penduduk yang terkesan sebagai dokumen rasmi dan rujukan awam,” katanya.
Amirudin turut melahirkan kekesalan terhadap tindakan pembangkang yang memboikot taklimat teknikal berhubung siasatan dan sebaliknya mengadakan sidang media, yang menurutnya menggambarkan motif politik melebihi kepentingan rakyat.