SEREMBAN - Empat individu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada Selasa atas pertuduhan mencuri mesin penapis air jenama Coway di dua masjid berasingan di Mantin dan Lenggeng pada 30 Jun dan 1 Julai lalu.
Tertuduh, Mohd Akiq Faiqal Idris, 29; Muhammad Danial Darishan Muhamad Ruduan, 19; Muhammad Syaiful Muhamad, 29; dan Muhammad Zulfikri Sulaiman, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di dua kamar berasingan di hadapan Majistret Saiful Sayoti dan Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka secara bersama telah melakukan kesalahan itu di Masjid As-Siddiqin, Batang Benar, Mantin kira-kira jam 8.11 malam, 30 Jun lalu.
Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Yunn Yiing memohon hukuman paling minimum, mengambil kira pengakuan salah tertuduh dan latar belakang mereka yang mempunyai tanggungan.
“Mereka telah menyatakan rasa insaf atas perbuatan dilakukan, barang kes juga telah diperoleh semula dan anggaran kerugian adalah rendah.
“Pengakuan bersalah tertuduh juga menjimatkan masa dan kos mahkamah,” katanya.
Mahkamah kemudian memutuskan Mohd Akiq, Muhammad Syaiful dan Muhammad Zulfikri dipenjara selama tiga bulan bermula dari tarikh sabitan.
Sementara itu, Muhammad Danial Darishan, yang merupakan pesalah muda, dibenarkan jaminan sebanyak RM1,500 sementara menunggu laporan sosial pada 5 Ogos ini.
Di kamar Mahkamah Majistret berbeza, Mohd Akiq Faiqal, Muhammad Danial Darishan dan Muhammad Zulfikri turut dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan selepas melakukan kesalahan sama di Masjid Kariah Lenggeng, Nilai, kira-kira jam 2.30 petang pada 1 Julai lalu.
Majistret Nurul Saqinah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi dan Muhammad Zul Azrin Zanuddin.
Terdahulu, kegiatan sekumpulan lelaki mencuri mesin penapis air di masjid dan kemudian menjualnya melalui media sosial terbongkar apabila lima suspek ditahan pada 3 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata pihaknya menerima tiga laporan berhubung kes kecurian mesin penapis air di tiga masjid pada 30 Jun, yang membawa kepada penahanan lima lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an hingga 40-an.