Kes penderaan bayi isyarat masyarakat, pihak berkuasa perlu bekerjasama

Iklan
Perlindungan kanak-kanak bukan hanya tugas kerajaan, tetapi tanggungjawab bersama.

ISU penderaan terutama melibatkan kanak-kanak dilihat masih berlaku dan menjadi ancaman serius kepada keselamatan golongan tersebut di negara ini.

Baru-baru ini, Sinar Harian melaporkan seorang bayi perempuan berusia 15 bulan disyaki maut didera ibu dan teman lelakinya di sebuah kedai di Bandar Satelit, Pulau Sebang, Melaka pada malam Ahad.

Iklan
Iklan

Sumber berkata, pemeriksaan doktor ke atas bayi itu menemui beberapa kesan lebam pada perut dan belakang badan mangsa selain kecederaan pada lubang dubur sebelum membuat laporan polis.

Susulan itu, ibu dan kekasihnya direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka pada Isnin selepas disyaki membunuh bayi perempuan berusia 15 bulan dengan cara mendera mangsa.

Iklan

Perintah reman terhadap suspek wanita, seorang penganggur berusia 24 tahun dan teman lelakinya yang bekerja di sebuah kedai peralatan memancing berusia 20 tahun dikeluarkan oleh Majistret Dr Teoh Shu Yee sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kejadian itu mencetuskan persoalan mengenai tahap kesedaran masyarakat terhadap penderaan kanak-kanak dan peranan jiran atau individu sekeliling untuk melaporkan sebarang tanda penderaan lebih awal.

Iklan

Dari sudut dasar, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara dan Akta Kanak-Kanak 2001, namun keberkesanan pelaksanaan di peringkat komuniti masih boleh dipersoalkan.

Cabaran besar yang dihadapi kerajaan ialah pengesanan awal terhadap kes penderaan, terutama melibatkan keluarga sendiri di mana mangsa terperangkap dalam lingkungan yang sepatutnya memberi mereka perlindungan.

Selain itu, faktor kemiskinan, pengangguran, tekanan hidup dan kekurangan sokongan sosial turut menyumbang kepada tingkah laku ganas terhadap kanak-kanak, khususnya dalam keluarga berisiko tinggi seperti ibu tunggal.

Kes seperti ini turut memberi tekanan kepada agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hospital yang sepatutnya perlu memainkan peranan lebih aktif dalam pengesanan, perlindungan serta pemulihan kes penderaan.

Kerajaan juga perlu memperluas peranan pasukan petugas komuniti, sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan dalam usaha mengenal pasti keluarga yang memerlukan intervensi awal untuk mencegah tragedi berulang.

Sistem pendidikan dan kesedaran awam juga harus diperkasa melalui kempen berterusan bagi mendidik masyarakat tentang penderaan kanak-kanak, termasuk saluran pelaporan yang boleh diakses dengan mudah dan selamat.

Kesimpulannya, kes berkenaan perlu menjadi isyarat kepada seluruh masyarakat dan pihak berkuasa bahawa perlindungan kanak-kanak bukan hanya tugas kerajaan, tetapi tanggungjawab bersama dalam memastikan mereka membesar dalam persekitaran selamat serta harmoni.