GAZA - Seramai 31 tentera Israel dilaporkan terbunuh akibat tembakan rakan sepasukan sendiri sejak rejim Zionis melancarkan serangan darat ke atas Genting Gaza pada 27 Oktober tahun lalu.
Pendedahan itu dibuat oleh Radio Tentera Israel pada Jumaat, yang turut melaporkan bahawa sebanyak 72 kematian tentera Israel sejak itu berpunca daripada pelbagai insiden berkaitan operasi, termasuk letupan senjata, kemalangan kenderaan dan kecuaian teknikal.
Daripada jumlah tersebut, 31 kematian disahkan akibat 'friendly fire', 23 maut dalam insiden berkaitan peluru dan bahan letupan, tujuh digilis kenderaan perisai, manakala enam lagi ditembak dalam kejadian yang tidak diperincikan.
Menurut laporan itu, dua daripada kematian terkini berlaku selepas Israel menyambung semula serangan ketenteraannya pada 18 Mac lalu, daripada keseluruhan 32 tentera yang maut dalam tempoh tersebut.
Radio Tentera turut memaklumkan lima kematian lain berpunca daripada kemalangan tempat kerja seperti terjatuh dan kecuaian penggunaan peralatan kejuruteraan.
Salah satu insiden berlaku pada malam Khamis namun butiran lanjut tidak didedahkan.
Sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023, tentera Israel merekodkan sebanyak 882 anggota maut dan lebih 6,000 cedera, menjadikan konflik ini antara yang paling berdarah dalam sejarah moden Israel.
Meskipun terdapat tekanan antarabangsa yang semakin meningkat agar gencatan senjata dimeterai, Israel meneruskan serangan besar-besaran ke atas Gaza, yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai tindakan genosid.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan lebih 57,000 penduduk Palestin telah terbunuh sejak perang bermula, dengan majoriti mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Selain itu, Israel kini sedang berdepan prosiding kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), susulan tindakan ketenteraan yang disifatkan sebagai penghapusan sistematik terhadap rakyat Palestin.
Penganalisis ketenteraan menyifatkan angka kematian akibat tembakan rakan sendiri dan insiden operasional lain menunjukkan tahap keletihan dan tekanan tinggi yang dialami oleh pasukan darat Israel.
“Ia mencerminkan krisis taktikal dan kegagalan koordinasi yang serius dalam kempen ketenteraan mereka,” kata seorang penganalisis keselamatan serantau kepada media tempatan.
Walaupun Israel terus berkeras meneruskan kempen militari, moral dalam kalangan tenteranya dilaporkan semakin merosot, terutamanya selepas siri kematian yang boleh dielakkan seperti ini.
Keluarga mangsa juga mula bersuara, menuntut ketelusan daripada kerajaan dan tentera, selain mempertikaikan hala tuju sebenar kempen ketenteraan di Gaza yang masih belum menunjukkan hasil nyata. - Agensi