MELAKA – Pempengaruh TikTok lelaki yang dikenali sebagai Melinda B dan sering berpakaian wanita didenda RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan berpakaian dan berlagak seperti kaum Hawa.
Hakim Amirrudin Abdul Latip, membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Hakim Noraji, 25, mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, dia didakwa memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di tempat awam tanpa alasan yang munasabah.
Perbuatan tersebut dilakukan di dua lokasi dan masa berbeza iaitu kira-kira jam 12 tengah malam hingga 3 pagi pada 10 Jun lalu di Bangunan A Famosa dan di hadapan Bangunan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Jalan Kota, Banda Hilir kira-kira 1.30 pagi Isnin.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda hingga RM1,000 atau dipenjara maksimum enam bulan mengikut Seksyen 72 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang melarang lelaki berlagak seperti perempuan.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Ahmad Faizul Ashar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya memerintah tertuduh dikenakan hukuman denda RM850 bagi kesalahan pertama atau satu bulan penjara jika gagal bayar dan RM950 bagi kesalahan kedua.
Tertuduh kemudiannya membayar denda tersebut.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan individu itu yang berpakaian dan berlagak seperti perempuan ditahan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ketika membuat siaran langsung menerusi aplikasi TikTok di Banda Hilir, di sini, awal pagi Isnin.
Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, lelaki berusia 25 tahun dan masih bujang itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Penguatkuasaan JAIM kira-kira jam 1.30 pagi selepas menerima aduan orang awam
Menurutnya, ketika ditahan, lelaki tersebut mengenakan pakaian perempuan iaitu blaus berwarna ungu, memakai rambut palsu bersanggul, kasut wanita dan anting-anting.