Program STI 100³ raih dua pengiktirafan MBOR

Iklan
Lih Kang bergambar selepas menerima Anugerah Catatan Rekod Baru MBOR daripada Ketua Pegawai Eksekutif MBOR, Christopher Wong (tiga, kanan) pada Majlis Peluncuran Program STI 100 di SMK Tiara Permai pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mencipta dua rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penganjuran Program Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) 100³ yang melibatkan penyertaan serentak 8,804 saintis dan 8,804 sekolah di seluruh negara.

Dua pengiktirafan yang diterima ialah Penyertaan Saintis Teramai dalam Program STEM Serentak dan Penyertaan Sekolah Teramai dalam Program STEM Serentak bagi inisiatif Scientists@Schools: Jom STI!.

Iklan
Iklan

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, kejayaan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjadikan pendidikan sains lebih interaktif dan inklusif, selari aspirasi Perdana Menteri agar pembelajaran sains tidak hanya terhad kepada teori dalam buku teks.

"Program ini membuktikan pendidikan sains mampu diperkasa melalui pendekatan kolaboratif dan pembelajaran di luar bilik darjah,” katanya ketika merasmikan Program STI 100³ bertemakan Scientists@Schools: Jom STI! di di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiara Permai di sini pada Isnin.

Iklan

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Menurutnya, program itu menghimpunkan kepakaran saintis daripada pelbagai latar belakang termasuk agensi kerajaan, akademia, industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berperanan sebagai mentor dan pencetus inspirasi kepada pelajar.

Iklan

Beliau berkata, pelaksanaan program akan dijalankan secara berkala dalam tempoh 100 hari bagi setiap kitaran, sebagai usaha berterusan menanam minat mendalam terhadap STI dalam kalangan generasi muda.

Sejak dilancarkan pada September 2024, dua kitaran awal program itu telah memperlihatkan impak positif dengan 150 saintis dipadankan bersama 150 sekolah, melaksanakan lebih 450 aktiviti interaktif yang memberi manfaat kepada lebih 38,000 pelajar, guru dan komuniti sekolah.

Dalam sidang media selepas itu, Chang berkata kerajaan terus komited merapatkan jurang penguasaan STEM antara pelajar bandar dan luar bandar, antaranya melalui inisiatif seperti Kembara Sains Borneo.

"Kita lihat kini banyak pelaburan yang berasaskan teknologi. Oleh itu, penting untuk melahirkan lebih ramai pelajar dalam aliran STEM bagi memenuhi keperluan masa depan,” katanya. - Bernama