KUALA LUMPUR – Tohmahan segelintir pihak blok pembangkang yang melabelkan lawatan rasmi Perdana Menteri sebagai ‘jalan-jalan’ bukan sahaja dangkal, malah membuktikan betapa ceteknya pemahaman mereka terhadap kepentingan diplomasi strategik negara dalam menghadapi cabaran geopolitik dan geoekonomi global.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi menegaskan, kenyataan sedemikian mencerminkan sikap tidak matang dan politik sempit yang langsung tidak berpijak pada realiti, sedangkan setiap lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa agenda besar serta penting untuk masa depan negara.
Menurut beliau, setiap lawatan rasmi Perdana Menteri membawa misi utama bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuh kerjasama strategik, membuka pasaran baharu untuk syarikat Malaysia serta memperjuangkan suara negara membangun di platform global seperti BRICS.
"Inisiatif diplomasi ekonomi yang diterajui Perdana Menteri telah membuahkan hasil yang ketara apabila Malaysia berjaya memperluas akses pasaran melalui penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU), serta pemeteraian FTA dengan negara-negara anggota EFTA," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Isnin.
Langkah proaktif ini, ujar beliau, terbukti berkesan apabila pelaburan yang telah diluluskan meningkat sebanyak 14.9 peratus, bernilai RM378 bilion. Nilai dagangan pula mencatatkan pertumbuhan kepada RM2.88 trilion pada tahun 2024, iaitu peningkatan 9.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Jelasnya, pencapaian tersebut amat signifikan memandangkan Malaysia merupakan sebuah ekonomi terbuka dengan nisbah dagangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 130 peratus.
Ahmad Farhan turut menyifatkan era pemerintahan kerajaan terdahulu sebagai lemah, tempang dan ketandusan idea, sehingga imej negara tidak dihormati di peringkat antarabangsa.
Beliau menyifatkan zaman itu seperti ‘seekor belalang di tepi lautan’ yang tidak membawa sebarang erti kepada hala tuju negara.
Tegasnya, era tersebut sudah lama berlalu sejak negara diterajui oleh Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dunia kini kembali melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berprinsip, stabil dan berpotensi tinggi.
"Pelaburan berbilion ringgit, pemeteraian pelbagai perjanjian strategik serta penyertaan aktif Perdana Menteri di pelbagai platform diplomatik dan ekonomi bertaraf dunia membuktikan keberkesanan dasar luar negara," katanya.
Katanya, rakyat kini semakin bijak dan tidak mudah terpedaya dengan permainan persepsi yang cuba dipesongkan oleh pembangkang. Justeru, pemimpin blok pembangkang digesa agar lebih memahami realiti semasa dan tidak memperlekehkan kewarasan rakyat.
“Nasihat saya kepada tokoh-tokoh berminda kecil dalam blok pembangkang ialah fahami dan kenali rakyat dengan lebih baik. Rakyat lebih bijak menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk negara dan siapa yang hanya tahu menabur tohmahan, menyemai kebencian serta bermain politik tanpa hikmah,” katanya.