SHAH ALAM - Tular sebuah video memaparkan seorang pekerja warganegara Bangladesh yang sanggup dipotong gaji oleh majikan asalkan dirinya dapat menunaikan solat lima waktu di surau.
Perkongsian pengguna media sosial, Zariff Southpaw, di laman thread miliknya mencuri perhatian warganet selain menyifatkan pemuda berkenaan sebagai ‘Bangladesh Green Flag’.
Menurut Zariff, lelaki warga asing itu tidak pernah meninggalkan solat lima waktu di surau, malah turut menjaga solat sunat qobliyah dan ba’diyah dengan penuh istiqamah.
“Dia (pekerja Bangladesh) kata majikan potong gaji RM70 kalau dia pergi solat Jumaat. Duit gaji 80 peratus dihantar kepada keluarga, selebihnya digunakan untuk hidup di sini (Malaysia).
“Tapi dia tak kisah, janji dapat solat. Katanya, dunia bukan matlamat, akhirat yang lebih utama.
“Dia ada cakap di dunia dia hanya orang biasa, di akhirat nanti Insya-Allah darjatnya luar biasa,” kata Zariff pada Ahad.
Hantaran tersebut mendapat reaksi positif dan menyentuh hati dalam kalangan warganet, bahkan ia turut dikongsikan ke platform media sosial lain.
Zariff memaklumkan, meskipun majikan menyatakan bakal memotong gaji hanya kerana meluangkan masa untuk solat di surau, ia tidak menjadi masalah besar buat pekerja Bangladesh itu.
“Dia halalkan sahaja gaji dipotong, sehingga RM100 pun tidak mengapa. Cuma dia merayu agar jangan laporkan perkara ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, Zariff menyifatkan lelaki terbabit sebagai individu yang sentiasa bercakap perkara baik dan menyentuh perihal agama setiap kali bertemu di surau.