HARI ini hari pertama saya menulis kolum Kisah Hidup untuk santapan pembaca Sinar Harian. Ruangan ini memberi peluang kepada saya untuk berkongsi tentang kisah yang berlaku dalam realiti kehidupan kita termasuk merangkumi kerjaya saya dalam bidang kewartawanan.
Sebenarnya saya bukanlah produk ‘kewartawanan’ hasil keluaran universiti tempatan. Senang cerita bukan budak Mascomm atau bahasa mudahnya komunikasi massa. Saya pelajar lepasan Politeknik Merlimau Melaka yang fokusnya kepada kemahiran sebelum berdepan alam pekerjaan.
Orang boleh kata, kerjaya wartawan yang saya ceburi ini adalah bidang terjun. Maklumlah belajar lain, kerja bidang lain. Hakikatnya, wartawan ini adalah sebahagian cita-cita saya sewaktu di sekolah rendah. Cumanya rezeki tidak kesampaian untuk menyambung pelajaran dalam bidang kewartawanan.
Sedar tak sedar, sudah 17 tahun diri ini bergelar wartawan. Dalam tempoh ini, saya masih lagi belajar untuk menjadi wartawan hebat yang bergerak seiring dengan teknologi pada hari ini.
Bercerita tentang teknologi pada hari ini, saya tertarik dengan informasi terkini HIV di Malaysia yang dikongsikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini. Melalui data yang dikeluarkan, seramai 83,937 individu di Malaysia dijangkiti HIV sehingga tahun 2024.
Angka yang membimbangkan adalah seramai 222 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dikesan menghidap jangkitan HIV pada usia seawal 18 hingga 19 tahun pada tahun lepas seperti yang diperkatakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Secara keseluruhan sebanyak 1,091 jangkitan HIV direkodkan dalam kalangan pelajar IPT bagi tempoh lima tahun dari tahun 2020 hingga 2024.
Teringat sewaktu membuat tugasan sempena Hari Aids Sedunia beberapa tahun lepas, seorang pesakit HIV berkongsi bahawa pada masa kini penularan penyakit itu bukan lagi melalui jarum suntikan tetapi seks bebas.
Malah ceritanya, seks bebas itu juga bukan lagi melalui aktiviti pelacuran di rumah-rumah pelacuran tetapi bertukar kaedah seiring dengan perkembangan teknologi.
Pelacuran tidak lagi terhad kepada operasi tradisional berasaskan lokasi fizikal. Kini, aplikasi media sosial, platform pencari pasangan termasuk yang khusus untuk hubungan sejenis, serta ruang sembang maya telah mempercepatkan dan menyamaratakan bentuk-bentuk pelacuran moden.
Ini termasuk transaksi seksual melalui jenama peribadi dalam talian dikenali sebagai sugar dating atau paid dating di mana komunikasi awal berlaku secara digital, mengaburi sempadan antara interaksi sosial dan perniagaan seksual.
Selain itu, penggunaan teknologi privasi seperti aplikasi pesanan terenkripsi dan dompet kripto memudahkan conclaves seksual tanpa pengesanan undang-undang atau kesihatan awam, menambah kerumitan usaha pemantauan dan pencegahan.
Sebab itu kalau ditinjau lokasi-lokasi popular pelacuran di ibu negara seperti Lorong Haji Taib, boleh dikatakan sudah suci daripada aktiviti persundalan. Tidak lagi seperti 10 tahun lalu.
Kini semuanya sudah beralih ke lokasi-lokasi lebih selesa, dijemput ke rumah, ke hotel atau dalam kereta sekalipun. Malah video yang dirakam dapat ditonton dengan mudah tanpa sekatan dan dijual di platform seperti X dan Telegram.
Begitulah mudahnya aktiviti pelacuran pada hari ini dan tidak mustahil anak-anak IPT ini mengambil jalan mudah menjana pendapatan tanpa memikirkan kesan yang mereka hadapi seperti HIV dan penyakit kelamin lain.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada 25 Februari lalu di Dewan Rakyat memaklumkan sejumlah 3,670 laman sesawang bersifat lucah disekat dari 2022 hingga 15 Februari lepas.
Pelacuran moden ini hakikatnya telah memperluas jangkauan dan menambah risiko jangkitan HIV terutama dalam kalangan remaja.
Data KKM menunjukkan tren positif dari segi jumlah kes menurun, namun peningkatan kepada jangkitan seksual moden kekal membimbangkan.
Oleh itu, langkah holistik yang melibatkan pemerkasaan dan reformasi sosial bermanfaat bukan sahaja untuk mengekang HIV tetapi juga memberi generasi akan datang masa depan yang lebih sihat, berdaya dan inklusif.
*Nurul Riduan Nor Ashaha ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian