SHAH ALAM - Hampir separuh daripada petani yang direkodkan di negara ini terdiri daripada golongan yang sudah berusia 60 tahun ke atas, menerusi hasil laporan Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Bancian itu mendapati jumlah petani yang sudah berusia itu adalah seramai 458,263 orang bersamaan 45.4 peratus, sementara kategori individu berusia 46 hingga 59 tahun sebanyak 326,287 orang iaitu sekitar 32.3 peratus.
Kumpulan petani muda yang berusia 31 hingga 45 tahun pula seramai 190,952 orang (18.9 peratus), manakala 15 hingga 30 tahun 33,195 orang (3.3 peratus).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Uzir Mahidin berkata, golongan warga emas akan tetap berada di lapangan untuk bertani sehingga habis kudrat kerana ia sudah menjadi resam bagi mereka yang menetap di luar bandar.
“Selagi dikurniakan kesihatan dan umur yang panjang, aktiviti pertanian akan tetap menjadi pilihan di kampung.
“Namun, tiada data perbandingan melibatkan kesemua kumpulan ini untuk tahun-tahun sebelumnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, struktur demografi pengusaha pertanian dalam negara yang semakin menua memberi gambaran awal tentang keperluan mendesak untuk meremajakan sektor berkenaan.
Beliau berkata, ini disebabkan generasi muda kurang berminat untuk menyertai sektor terbabit, sekali gus menggugat kelangsungan industri pertanian negara.
Sementara itu, Uzir berkata, bancian turut mendapati muncul potensi tinggi dalam kalangan belia yang mahir untuk meningkatkan produktiviti terhadap sektor pertanian.
Bagaimanapun, katanya, tiada data tepat direkodkan mengenai trend atau peratusan peningkatan, penurunan dan mendatar membabitkan petani muda tersebut.
“Ini kerana, banci pertanian terakhir dibuat adalah pada tahun 2005 dan terlalu banyak statistik mahupun dapatan tidak dikemaskinikan dalam 19 tahun kebelakangan ini,” jelas beliau.
Bagaimanapun, Uzir berkata, pihaknya memberi jaminan akan mengeluarkan laporan bancian setiap 10 tahun sepertimana diumumkan dalam Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 sebelum ini.