Dua suspek kes dadah ditahan, satu lolos selepas cuba rempuh polis

Iklan
Kenderaan yang digunakan suspek.

BEAUFORT - Tindakan agresif tiga lelaki yang cuba melarikan diri memaksa pasukan polis melepaskan tembakan pada tayar kenderaan dinaiki dalam kejadian di Jalan Pan Borneo, berhampiran Kampung Lumat di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, dua suspek berusia 29 dan 18 tahun itu berjaya ditahan polis manakala seorang lagi sempat meloloskan diri dari lokasi tersebut.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Beaufort Superintenden Wong Leong Meng berkata, kejadian berlaku apabila sepasukan pegawai dan anggotanya telah memintas sebuah kenderaan yang dinaiki tiga lelaki dipercayai terlibat dalam aktiviti dadah di jalan utama Membakut-Beaufort.

"Pasukan serbuan bertindak menghampiri kenderaan tersebut dan memaklumkan mereka sebagai polis sebelum secara tiba-tiba kereta dipandu meluru ke hadapan dan hampir merempuh anggota.

Iklan

"Pasukan serbuan kemudian terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kereta suspek namun mereka berjaya meloloskan diri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Susulan itu Leong Meng berkata, berlaku aksi mengejar suspek sebelum kenderaan dinaiki berjaya ditahan di tepi jalan Pan Borneo.

Iklan

"Tiga suspek keluar dari kereta lalu bertindak melarikan diri namun dua daripadanya berjaya ditahan manakala seorang lagi sempat lolos," katanya.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.