'Akhirnya kami ada tempat berteduh selesa' – Penerima Rumah Mesra SMJ

Iklan
Armizan (empat dari kanan) bersama penerima Rumah Mesra SMJ, Zuraidin (lima dari kanan) di Kampung Kalanahan Rimba, Papar.

PAPAR - Tiada lagi rumah usang dan tidak lagi perlu berhimpit.

Itu antara luahan dua penerima Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di kawasan Parlimen Papar yang kini menikmati kehidupan lebih selesa selepas permohonan mereka untuk mendirikan kediaman baharu disiapkan sepenuhnya.

Iklan
Iklan

Bagi seorang balu, Rosmih @ Intan Awang, 53, pada awalnya beliau hanya berhajat membaiki rumah lamanya yang sudah terlalu usang, namun tidak menyangka permohonan tersebut membolehkannya menerima sebuah rumah baharu menerusi inisiatif kerajaan negeri.

"Rumah yang saya diami sebelum ini sudah berusia lebih 20 tahun, tetapi keadaannya memang sangat daif. Dinding mulai mereput, atap pula bocor. Setiap kali hujan, air akan menitis masuk ke dalam rumah sehingga membasahi lantai dan perabot.

Iklan

"Saya pula hanya bekerja sebagai pembantu di kantin sekolah dan sejak kematian suami, saya tidak berkemampuan untuk membina semula rumah yang lebih selesa untuk anak-anak," katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali ke rumahnya di Kampung Perumahan Kuala Papar di sini.

Rosmih yang mempunyai tiga anak berkata, beliau bersyukur kerana dipertemukan dengan pemimpin di peringkat kampung yang mencadangkan permohonan bantuan Rumah Mesra SMJ.

Iklan

"Alhamdulillah, akhirnya saya dan anak-anak memiliki rumah yang lengkap dengan tiga bilik dan tempat berteduh yang jauh lebih selesa. Kami juga menerima beberapa bentuk bantuan kerajaan lain yang banyak meringankan beban," katanya.

Seorang lagi penerima, Zuraidin Hais, 42, menyifatkan rumah baharu itu sebagai satu anugerah besar selepas 15 tahun menyimpan impian memiliki kediaman sendiri.

"Sebelum ini kami enam beranak hanya menumpang di rumah ibu bapa. Kadang-kadang, apabila adik-beradik pulang ke kampung waktu raya, kami terpaksa bersempit dan tidur di ruang tamu.

"Syukur, permohonan saya tahun lalu diluluskan dan dua minggu lalu kami menerima kunci rumah. Kini, impian untuk memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Zuraidin mengakui pendapatannya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah tidak mencukupi untuk membina rumah sendiri.

"Gaji memang cukup-cukup makan sahaja, untuk menyimpan pun susah. Tapi saya kuatkan semangat demi keselesaan anak-anak dan isteri. Bila rumah ini siap, rasa syukur itu tidak dapat digambarkan," katanya.

Selain bantuan perumahan, Zuraidin juga menerima beberapa bantuan lain termasuk Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) dan zakat daripada kerajaan negeri, serta bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, pelbagai bentuk sokongan disediakan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin, khususnya golongan miskin dan miskin tegar.

“Kerajaan Madani komited memastikan setiap isi rumah sekurang-kurangnya ada makanan di atas meja. Selain meningkatkan gaji penjawat awam dan pelaksanaan gaji minimum, bantuan tunai juga terus dipertingkat.

“Saya turun sendiri dan bertanya kepada penerima. Ada antara mereka menerima semua bentuk bantuan iaitu STR sebanyak RM1,200 setahun, SARA yang dimasukkan terus ke dalam MyKad untuk pembelian keperluan di premis rakan strategik, serta bantuan negeri melalui program SYUKUR yang diterima secara berfasa," katanya.