ALOR SETAR – Alor Setar kini semakin mendapat perhatian daripada kelab kereta mewah, kereta klasik dan penunggang motosikal berkuasa tinggi sebagai lokasi persinggahan dan perhimpunan, sekali gus membantu merancakkan sektor pelancongan serta ekonomi tempatan.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, perkembangan tersebut membuktikan bahawa Alor Setar mempunyai tarikan tersendiri untuk dijadikan lokasi perhentian oleh kelab kenderaan dari dalam dan luar negara sebelum meneruskan perjalanan ke Langkawi atau Thailand.
Menurutnya, Alor Setar sentiasa bersedia menerima kunjungan pelancong kerana menawarkan pelbagai lokasi menarik selain kemudahan yang sesuai untuk penganjuran program.
“Kita akan lakukan penambahbaikan kemudahan sedia ada secara berperingkat kerana ia melibatkan peruntukan. Buat masa ini, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengalu-alukan mana-mana kelab kenderaan, persatuan dan penganjur acara untuk memilih Alor Setar sebagai lokasi program,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan konvoi 35 buah kereta Ferrari daripada Ferrari Owners Club Malaysia di Medan Bandar, di sini, pada Jumaat.
Menurut Abdul Gafar, pelbagai program telah disusun sepanjang tahun ini sempena kempen ‘Mai Singgah Alor Setar Lagi’ dan Tahun Melawat Kedah 2025.
“Antara program yang dirancang ialah Santai Anak Utara di Stadium Darul Aman pada Sabtu serta Karnival Muzium selama empat hari pada hujung bulan ini yang menghimpunkan semua pegawai muzium dari seluruh negara.
“Pada Ogos pula, akan diadakan Folding Bike International yang sebelum ini dianjurkan di Langkawi dan kini dibawa ke Alor Setar,” ujarnya.
Tambah beliau, MBAS juga merancang untuk menaik taraf program Legendary Ride anjuran Telekom Malaysia yang berlangsung minggu lalu agar dapat dianjurkan di peringkat antarabangsa pada tahun hadapan.
“Pada Oktober ini, Alor Setar akan menjadi tuan rumah Carnival Science & Mathematics International yang menghimpunkan penyertaan daripada 25 negara, selain pelbagai lagi acara yang akan berlangsung sehingga hujung tahun,” katanya.
Sehubungan itu, jelas beliau, MBAS akan memberikan sokongan termasuk bantuan koordinasi bersama agensi keselamatan kepada mana-mana pihak yang ingin menganjurkan acara di Alor Setar.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Kerja Raya atas peruntukan yang disalurkan untuk pembangunan di bandar ini,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Ferrari Owners Club Malaysia, Abu Rizal Bakri Sulaiman memaklumkan, konvoi melibatkan 35 buah kereta Ferrari pelbagai model itu singgah di Alor Setar dari Hatyai, Thailand sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang.
“Ada yang datang dari Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Seremban, dan ada juga yang singgah dari Hatyai sebelum pulang ke destinasi masing-masing.
“Sudah tentu kami akan bantu mempromosikan Alor Setar sebagai lokasi persinggahan kepada rakan-rakan kelab kereta dari Singapura yang mahu ke Thailand kerana banyak tempat menarik dan makanan enak di sini,” katanya.
Menurutnya, Medan Bandar dan kawasan sekitar Alor Setar dilihat sesuai dijadikan lokasi perhimpunan kelab kereta mewah dan motosikal berkuasa tinggi kerana kawasan itu bersifat ikonik serta mampu menarik kunjungan ramai peminat automotif.
“Kami juga merancang untuk menganjurkan Unity Drive yang menghimpunkan kelab dari Malaysia, Singapura dan Thailand pada tahun hadapan, dan Alor Setar pasti menjadi lokasi persinggahan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi lain,” ujarnya.