SUNGAI PETANI - Dua buah lori membawa muatan tanah merah seberat 38 tan dengan nilai keseluruhan RM250,000 dirampas dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan dekat sini pada Khamis.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, operasi berkenaan dilaksanakan oleh Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara PGA selepas menerima maklumat mengenai aktiviti pengangkutan tanah tanpa kebenaran Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kedah.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki tempatan yang memandu lori berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada pihak berkuasa untuk membawa muatan tanah merah tersebut.
**pullquote**
“Rampasan melibatkan dua lori jenis 12 tan dengan muatan tanah merah dianggarkan seberat 38 tan secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Jumaat.
Shahrum berkata, kes tersebut disiasat di bawah Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah Bil 1/2023 yang memperuntukkan jika sabit kesalahan, keseluruhan deposit yang diletakkan oleh pengusaha kuari akan dirampas dan diserahkan kepada kerajaan negeri Kedah sebagai hasil negeri.
“Briged Utara PGA sedang giat melakukan pengawasan dan rondaan di sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Kami akan terus konsisten dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang, terutama melibatkan hasil kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Tiada kompromi bagi mereka yang cuba mengaut keuntungan secara haram,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau meminta masyarakat supaya menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang bagi membolehkan tindakan segera diambil demi menjaga kepentingan hasil negeri.