Suri rumah pukul anak angkat guna kayu, lesung batu, toreh pisau dijel 8 tahun

Iklan
Suri rumah berusia 54 tahun itu dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah.

KUALA SELANGOR – Seorang wanita yang memukul anak angkatnya berusia 13 tahun menggunakan kayu, lesung batu dan menoreh tubuh mangsa dengan pisau, dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Suri rumah berusia 54 tahun itu dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap iaitu 28 Jun lalu selain dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun tanpa penjamin.

Dia juga perlu melakukan khidmat masyarakat selama 40 jam selama empat bulan setelah selesai hukuman.

Iklan

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai penjaga telah memukul badan mangsa dengan kayu dan lesung batu serta menorehnya menggunakan pisau, di Taman Bendahara di sini pada Jun lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Berdasarkan fakta kes, perbuatan kejam tertuduh terbongkar selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Semasa prosiding, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Khairul Hazwan Rashid Mohd Redduan merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana tidak mempunyai pendapatan.

“Dia tidak mampu untuk membayar denda selepas suaminya telah dipenjara kerana kes dadah,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran.

“Wanita ini telah melakukan kesalahan serius dan saya mohon mahkamah meneliti gambar-gambar kecederaan dialami mangsa.

“Dia gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu angkat sehingga sanggup mencederakan mangsa yang dijaga sejak bayi,” katanya.

Ahad lalu, Sinar Harian melaporkan, polis menahan suspek selepas menerima laporan daripada seorang individu berhubung kejadian yang menimpa remaja itu.