Angkasa perkukuh peranan koperasi dalam ekonomi negara

Iklan
Abdul Fattah yakin Angkasa kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif digitalisasi untuk memacu pertumbuhan koperasi di negara ini.  

 

Gerakan koperasi Malaysia terus menjadi kuasa ketiga ekonomi negara yang inklusif, dinamik dan berdaya saing dengan 16,248 koperasi berdaftar dan keanggotaan melebihi 7.2 juta orang merentasi pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, belia, golongan profesional, wanita, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

Iklan
Iklan

Koperasi seharusnya dijadikan ekosistem ekonomi holistik yang dapat merangkumi pelbagai segmen masyarakat seperti institusi sekolah, masjid, surau, komuniti luar bandar dan bandar, sekali gus menjadi landasan ampuh kepada pembangunan sosioekonomi rakyat.

Menurut Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, perolehan koperasi negara pada tahun lalu mencecah RM68.2 bilion, mengatasi sasaran tahun 2025 iaitu RM60 bilion yang ditetapkan dalam Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030.

Iklan

Tambahnya, Angkasa kini turut memainkan peranan di peringkat antarabangsa melalui penglibatan beliau sebagai Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Naib Presiden International Cooperative Alliance Asia dan Pasifik (ICA-AP).

“Kami juga giat memperkenalkan model koperasi kariah masjid dan kewangan Islam yang menepati prinsip demokrasi, ketelusan dan berorientasikan ekonomi dan kebajikan,” katanya dalam satu temu bual bersama Sinar Harian di Ibu Pejabat Angkasa, Wisma Ungku A. Aziz, di sini pada Khamis.

Iklan

Mengulas peranan koperasi dalam agenda nasional seperti keterjaminan makanan dan pembangunan luar bandar, Abdul Fattah berkata koperasi harus diberi ruang lebih luas dalam sektor pengeluaran dan pengedaran makanan khususnya produk halal.

“Kita telah mendaftarkan lebih 3,591 outlet koperasi yang terlibat dalam jaringan peruncitan menerusi Projek BA100 yang menawarkan barangan keperluan harian dengan harga kompetitif.

“Ini antara usaha koperasi dalam membantu menstabilkan harga barangan dan mengatasi isu keterjaminan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan harapan koperasi terus berkembang sejajar dengan ekosistem ekonomi berasaskan kerjasama dan keanggotaan.

“Gerakan koperasi harus dilihat bukan sekadar entiti perniagaan, tetapi sebagai pemacu kesejahteraan sosial. Koperasi bukan untuk individu semata-mata, tetapi manfaatnya dikongsi seluruh komuniti,” tambah beliau.

Perkasa jati diri koperasi

Sebagai badan puncak gerakan koperasi negara, Angkasa bertanggungjawab memperjuang, mengawasi dan menjaga kepentingan dan pembangunan pergerakan koperasi dengan menggalakkan prinsip-prinsip koperasi.

Abdul Fattah berkata, Angkasa komited memperkasa identiti dan jati diri koperasi menerusi pelbagai inisiatif pendidikan, keusahawanan dan promosi yang berterusan bagi menyerlahkan sumbangan dan peranan koperasi dalam meningkatkan taraf hidup, memupuk kesejahteraan sosial dan menangani cabaran global.

Bertemakan Pemacu Penyelesaian Mampan dan Inklusif untuk Kesejahteraan Sejagat (Driving Inclusive and Sustainable Solutions for a Better World), sambutan Hari Koperasi Antarabangsa pada Sabtu minggu pertama pada Julai setiap tahun memberikan pengiktirafan kepada gerakan koperasi seluruh dunia yang sentiasa mengamalkan prinsip untuk mengukuhkan demokrasi ekonomi, keadilan sosial dan solidariti komuniti.

“Sambutan ini diraikan serentak di seluruh dunia melibatkan lebih tiga juta koperasi dan keanggotaan individu mencecah 1 bilion,” katanya.

Menurut beliau, sambutan di Malaysia lebih istimewa apabila kerajaan mengisytiharkan Bulan Koperasi Kebangsaan sepanjang bulan Julai dan kemuncaknya Hari Koperasi Negara (HKN) 2025 akan disambut pada 25 hingga 27 Julai di MITC Melaka serta dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Inisiatif digitalisasi dan kelangsungan koperasi

Jelas Abdul Fattah, dalam dunia perniagaan yang semakin mencabar, koperasi tidak boleh lagi menafi kan kepentingan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT) yang mampu mempercepatkan urusan serta meningkatkan kecekapan operasi.

Jelas beliau, teknologi terkini bukan hanya satu pilihan tetapi satu keperluan bagi membuka peluang pekerjaan baharu, memperkukuh daya saing dan menjadikan koperasi lebih mampan serta relevan.

Sehubungan itu, katanya, Angkasa kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif digitalisasi termasuk merancang pelaburan jangka panjang dalam bidang teknologi sebagai langkah strategik untuk memastikan pertumbuhan koperasi terus berterusan.

“Peralihan ke arah digitalisasi ini penting bagi memastikan koperasi tidak hanya kekal, tetapi juga berkembang maju dalam landskap ekonomi masa depan,” tegas beliau.

Abdul Fattah juga menitikberatkan pembangunan pelapis pemimpin koperasi untuk kelangsungan gerakan koperasi negara.

“Usaha Angkasa memperkenalkan model koperasi sekolah telah membuka mata masyarakat antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai contoh terbaik untuk membangunkan model koperasi sekolah di negara masing-masing demi kelestarian keusahawanan koperasi dalam kalangan generasi muda.

“Kejayaan Malaysia yang memperkenalkan model koperasi sekolah yang seumpamanya di dunia adalah hasil langsung daripada kerjasama strategik antara Angkasa dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkasakan pendidikan koperasi peringkat sekolah,” ujar beliau.

Lebih membanggakan beberapa koperasi sekolah turut mencatat perolehan mencecah RM1 juta dan perkembangan itu wajar dijadikan penanda aras kepada gerakan koperasi pelajar pada masa depan.

“Sehingga kini, sebanyak 42 koperasi sekolah telah mencatatkan perolehan melebihi RM1 juta setahun,” katanya.

Sehingga Disember 2024, terdapat 2,508 koperasi sekolah dengan keanggotaan melebihi dua juta anggota individu yang mencatatkan perolehan keseluruhan RM532 juta.

Dalam pada itu, Abdul Fattah menyeru koperasi di seluruh Malaysia untuk sama-sama memainkan peranan aktif menyemarakkan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025 yang kali kedua diumumkan dalam sejarah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengiktiraf gerakan koperasi selepas sambutan yang pertama pada tahun 2012.

Semangat kerjasama dan model ekonomi kolektif yang menjadi asas perjuangan koperasi seharusnya diperluaskan demi meningkatkan peluang dan manfaat kepada seluruh anggota koperasi dan masyarakat supaya tidak ada yang terpinggir dalam memacu pertumbuhan mampan.