JOHOR BAHRU - Sebanyak 39 peratus daripada 1.5 juta perniagaan yang didaftarkan di negara ini merupakan usahawan bumiputera dengan majoritinya melibatkan perusahaan mikro yang berpendapatan tidak melebihi RM300,000 setahun.
Ketua Pengarah Mara, Datuk Zulfikri Osman berkata, data itu berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sekali gus memperlihatkan peranan penting agensi kerajaan termasuk Mara dalam membantu memperkukuh ekonomi bumiputera.
“Mara mengambil tanggungjawab ini dengan menyediakan ekosistem lengkap daripada latihan modal insan, pembangunan perniagaan dan jenama, hinggalah penyediaan premis pada kadar subsidi.
“Oleh itu, Mara akan sentiasa membantu untuk cuba meningkatkan usahawan mikro ini sekurang-kurangnya menjadi usahawan kecil dan sederhana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Entrepreneurial Chill and Chat bersama Ketua Pengarah Mara yang dihadiri lebih 300 usahawan pelbagai bidang di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Zulfikri memberitahu, dalam sesi berkenaan beliau berkongsi mengenai agenda Mara dalam membangunkan bumiputera melalui pendekatan 3P iaitu penyertaan, pemilikan dan penguasaan.
“Sebenarnya, bukan sahaja dalam bidang keusahawanan kita memperkasakan bumiputera, tetapi melalui agenda 3P iaitu penyertaan, pemilikan dan penguasaan.
“Dalam sesi ini juga saya memberi peluang kepada usahawan untuk bertanya apa sahaja sama ada informasi, permasalahan ataupun cadangan kepada Mara.
"Alhamdulillah saya mendapat respons yang begitu baik sekali daripada usahawan-usahawan dan terima kasih kepada mereka semua,” katanya.
Beliau berkata, majoriti usahawan yang hadir pada program itu membangkitkan isu berkaitan dana.
“Usahawan turut membangkitkan masalah berkaitan dengan ketidakcukupan dana yang disediakan bukan sahaja oleh Mara tapi oleh agensi kerajaan secara umumnya untuk membantu usahawan.
“Bagaimanapun saya kira daripada maklum balas itu, kita berjaya memberi kefahaman kepada mereka tentang kehadiran Mara dan juga agensi-agensi kerajaan yang lain.
"Kita ada lebih kurang 17 kementerian yang membantu usahawan-usahawan di negara ini.
“Mara cuba sedaya upaya untuk membantu dan dalam masa yang sama sudah tentulah kita di pihak kerajaan juga bukan sahaja memberi bantuan dalam bentuk pinjaman modal, tetapi kita juga memberi latihan, geran pensijilan, geran untuk peningkatan teknologi dalam perniagaan dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Mara kini mempunyai hampir 60,000 usahawan di bawah bimbingannya, yang dibantu melalui ekosistem pembangunan keusahawanan paling lengkap termasuk latihan, pembangunan perniagaan, jenama dan khidmat nasihat.
“Pada tahun ini, secara keseluruhannya Mara menyediakan lebih kurang RM500 juta.
"Peruntukan itu merangkumi latihan, untuk pinjaman, untuk penyelenggaraan premis perniagaan.
“Kita ada 7,300 premis perniagaan di seluruh negara dan bagi Johor kita peruntukkan sebanyak 32 juta,” katanya.