DUNIA bola sepak dikejutkan dengan pemergian tragis penyerang Liverpool, Diogo Jota yang dilaporkan maut dalam satu kemalangan jalan raya di Sepanyol awal pagi Khamis.
Jota, 28, dilaporkan sedang memandu bersama adiknya, André, 26, apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas dan terbakar di lebuh raya kira-kira 62 kilometer dari bandar Zamora.
Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut laporan pihak berkuasa, saksi yang menghubungi talian kecemasan 112 memaklumkan bahawa kenderaan tersebut terbakar dengan cepat, menyebabkan mangsa terperangkap dan gagal menyelamatkan diri.
Kebakaran turut merebak ke kawasan berhampiran.
Kematian mengejut Jota berlaku hanya dua minggu selepas beliau melangsungkan perkahwinan, menjadikan tragedi ini lebih memilukan buat keluarga dan para peminatnya.
Adiknya, André, merupakan pemain bola sepak profesional bersama kelab Portugal, Penafiel.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Liverpool FC berhubung insiden berkenaan.