Kolam renang Sultan Yahya Petra akan dibaik pulih - Hannah

Iklan
Kolam renang Sultan Yahya Petra di Kota Bharu. Gambar kecil: Hannah

KOLAM renang Sultan Yahya Petra di sini yang dibina sejak 1972 akan segera dibaik pulih bagi menjamin keselamatan pengguna khususnya kanak-kanak B40 yang menyertai kelas renang percuma anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, walaupun fasiliti berkenaan milik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pihaknya akan membantu usaha baik pulih itu kerana kemudahan terbabit satu-satunya kolam renang milik kerajaan di negeri ini.

Iklan
Iklan

“Kami lihat banyak bahagian lantai kolam sudah pecah, tandas lelaki dan perempuan juga memerlukan pembaikan.

“Ini bukan soal kemewahan, tetapi keselamatan anak-anak kecil yang belajar berenang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Cabaran Robotik Belia ASEAN 2025 yang diadakan sebuah pasar raya di Tunjong di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau sebelum itu turut melawat kolam renang berkenaan sempena lawatannya ke Kelantan.

Hannah berkata, penilaian kos dan skop kerja terletak di bawah tanggungjawab KPM, namun KBS akan membantu setakat yang mampu bagi memastikan kemudahan tersebut boleh dimanfaatkan dengan selamat oleh rakyat Kelantan.

Iklan

“Fokus KBS adalah beri kemahiran kepada anak-anak kecil terutama di kawasan yang kerap berlaku kes lemas dan banjir,” katanya lagi.

Dalam pada itu, KBS turut memberi jaminan bahawa persiapan Kelantan sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 berjalan lancar dengan kerjasama erat kerajaan negeri.

Menurut Hannah, Kompleks Sukan Bukit Merbau di Pasir Puteh dijangka siap sepenuhnya menjelang September 2027 dengan kemajuan pembinaan kini berada pada tahap 17.84 peratus.

“KBS dan Kerajaan Kelantan sudah bermesyuarat dan gerak kerja sedang berlangsung mengikut jadual.

“Setakat ini, tiada masalah,” katanya.

 


 

KBS sokong atlet warisan, tapi bukan jalan pintas – Hannah

KOTA BHARU – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyokong usaha mana-mana persatuan sukan untuk membawa masuk atlet warisan atau naturalisasi, selagi ia mematuhi peraturan antarabangsa badan sukan masing-masing.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, KBS turut menekankan keperluan untuk mematuhi garis panduan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandangkan isu tersebut turut melibatkan aspek imigresen.

Menurut beliau, setiap sukan mempunyai peraturan antarabangsa sama ada berkaitan pemain warisan atau naturalisasi, seperti juga yang ditetapkan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Kalau FIFA benarkan, World Aquatics benarkan atlet warisan, kita juga akan luluskan.

“KBS akan menyokong selagi ia mengikut peraturan dan garis panduan yang ditetapkan, termasuk oleh KDN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Cabaran Robotik Belia ASEAN Zon Timur 2025 di Tunjong di sini pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Akuatik Malaysia (MAS) memperhebat usaha mengenal pasti dan merekrut perenang warisan bagi memperkukuh skuad kebangsaan.

Mengulas lanjut, Hannah menegaskan bahawa penglibatan atlet warisan tidak bermakna bakat tempatan akan terpinggir, sebaliknya ia dapat merangsang persaingan sihat dan meningkatkan prestasi keseluruhan pasukan.

“Kalau mereka ada latar belakang Malaysia dan ikut peraturan, kami tidak boleh halang. Yang penting, jangan ambil jalan mudah.

“Bakat tempatan tetap diberi keutamaan, tetapi realitinya setiap pasukan apabila keluar bertanding, mereka mahu menang.

“Jadi, selagi mereka mahu menang dan mengikut peraturan, kami akan sokong,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, KBS turut komited membangunkan bakat sukan dari peringkat akar umbi menerusi peruntukan RM1 juta sejak tahun lalu untuk kebanyakan sukan Olimpik.

“Kami mahu perluaskan pembangunan bakat tempatan dan pada masa sama memastikan kemenangan,” katanya.