IPOH - [DIKEMAS KINI] Kes bunuh seorang lelaki yang ditemui dengan kesan tembakan di dada di Taman Tasek Damai di sini minggu lalu, disyaki melibatkan jenayah terancang.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kes melibatkan mangsa berusia 57 tahun itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.
"Kes ini awalnya disifatkan tempatan namun siasatan lanjut mengesyaki ada kaitan dengan jenayah terancang jadi unit JSJ Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes ini.
"Kita perlu tunggu siasatan lanjut dan di Perak, kita akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam segala perkara," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Derma Darah PDRM Perak sempena Hari Polis ke-218 di Mes Pegawai Kanan Polis di sini pada Khamis.
Menurut Noor Hisam, tiada senjata ditemui setakat ini dan motif kejadian masih dalam siasatan.
Tambah beliau, anak lelaki mangsa berusia 31 tahun yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan telah dilepaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman tamat Selasa lalu.
Media melaporkan seorang lelaki yang ditemukan maut dengan kesan tikaman pada 24 Jun lalu didapati mempunyai kesan luka tembakan di dada kiri yang dipercayai menjadi punca kematiannya.
Mangsa ditemui mati dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di bahagian dapur rumah.